Pesan Mama Tetap Diingati Sampai Bila-bila - Assalamualaikum, memegang amanah terakhir arwah abangnya, Faizznur Asyraf Husain, 25, berjanji akan menjaga dan membesarkan dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, yang kehilangan kedua ibu bapa dan adik bongsu mereka dalam kemalangan di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), awal pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, arwah abangnya, Fairuz Nizam sempat menitipkan pesanan kepadanya agar menjaga anak-anaknya dua minggu sebelum kemalangan berlaku. “Sebelum arwah pergi dia memang ada sampaikan pesanan antaranya jaga keluarganya dan perniagaannya dan dia juga suruh saya berjanji apa sahaja yang saya lakukan semuanya adalah untuk anaknya.
“Saya tiada masalah (untuk menjaga anak saudara). Arwah meninggalkan amanah yang besar iaitu dua orang puteri yang masih kecil dan saya tidak akan menghampakan arwah kerana ini adalah amanah dan pesanan terakhir arwah kepada saya,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Taman Batu Muda, Batu Caves hari ini.
Faizznur dan tunangnya, Ruhaida juga sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab menjadi ‘ibu bapa’ baharu buat dua beradik tersebut dan kini mereka memanggil Faizznur dengan gelaran Papa Cu.Sebelum ini dia dikenali sebagai Acu buat kedua-dua Amira dan Aqila.
“Tunang saya memang dah rapat dengan mereka, secara tak langsung masa saya akan tertumpu kepada anak arwah untuk menjalankan amanah.
“Saya berharap sangat tunang saya terima situasi ini dengan hati terbuka dan bersedia untuk bersama membesarkan anak,” katanya yang bakal diijabkabulkan Oktober tahun ini.
Ketika ditanya mengenai perubahan sikap anak-anak buahnya, Faizznur menyatakan Aqila lebih banyak menzahirkan perasaannya menerusi lukisan. Sementara si kakak pula tidak langsung boleh melihat sebarang gambar tempat kejadian yang meragut nyawa ketiga-tiga insan kesayangannya itu. Berkongsi cerita, Faizznur berkata ada satu peristiwa yang meruntun hatinya bilamana walaupun ibunya sudah tiada lagi namun Aqila masih lagi mengingati pesanan arwah ibunya.
“Tiga hari lepas selepas Subuh, Aqila bangun awal, dia duduk sebelah saya lepas saya habis solat, saya tegur dia, “kenapa bangun awal”, saya tanya “tak mengantuk ke”, dia jawab, “masa mama hidup dulu Ya (Aqila) tak boleh tidur lama-lama, mama dah tiada tapi Ya kena dengar juga cakap mama.
“Itu perkataan yang mengharukan hati saya, bermakna dia ingat pesan-pesan arwah,” katanya yang menyifatkan dua anak saudaranya itu sebagai kanak-kanak yang bijak dan pintar.
Abang Faizznur, Fairuz Nizam, isteri, Nova Safitri Azhari dan anak bongsu pasangan, Nur Firuza Annisa itu maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duke selepas kereta mereka naiki dirempuh dua kereta Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan laju. Fairuz Nizam merupakan anak keempat daripada enam beradik sementara isterinya, Nova merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Jenazah ketiga beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Sakinah, Gombak.
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.