MURID NAKAL VS MURID BAIK....


Di manapun kita lihat, kalau ada murid-murid yang berkumpul,sama ada di sekolah, di asrama atau dimana-manapun, ada murid yang kita anggap baik dan ada murid yang kita anggap nakal atau sudah sampai ke peringkat jahat. Hanya mungkin di sekolah atau asrama yang tertentu, tahap kenakalan dan peratus murid
yang nakal itu kurang. Oleh itu kenakalan mereka tidak memberi kesan yang terlalu banyak. Dimana peratus murid yang nakal dan tahap kenakalan
mereka terlalu tinggi, ini mungkin akan mengubah suasana sekolah atau asrama.
Akan lebih banyak berlaku pergaduhan, kecurian,gansterisme, buli membuli dan masalah kurang disiplin.

Pandangan para guru atau warden asrama pula terhadap perkara ini pada
­umumnya adalah stereotaip. Biasanya murid-murid yang baik perangai dan kelakuan mereka diberi kurang perhatian. Perhatian dan masa ditumpu kepada murid-murid yang nakal, yang super active, yang hyper-active atau yang jahat. Mereka inilah yang dibimbang-bimbangkan dan dirisau-risaukan. Sebabnya jelas. Murid-murid yang baik kurang menimbulkan masalah. Mereka kurang bergaduh, tidak melanggar
peraturan sekolah atau asrama dan agak berdisiplin. Yang banyak menimbulkan masalah ialah murid-murid nakal, jahat, yang super dan hyper-active. Mereka inilah yang banyak
ditegur, dimarahi, dihukum dan didisiplinkan. Sikap seperti ini ada kelemahan dan ada kekurangan yangtersembunyi. Kalau tidak dibongkar, para guru dan warden
tidak akan sedar dan akan terus membuat lebih banyak kesilapan. Kalau tujuan dan matlamat para guru dan warden hanyalah supaya dapat mengawal suasana dan para murid yang nakal dapat dikawal supaya tidak menimbulkan kekecohan dan huru-hara di sekolah dan asrama demi untuk menjaga nama baik sekolah dan asrama, maka layaklah sikap ini diteruskan. Tetapi kalau tujuan para guru dan warden adalah untuk mendidik
para murid supaya mereka menjadi manusia yang terdidik dengan perangai dan akhlak yang sempurna hingga ia menjadi pakaian dan darah daging mereka sampai bila-bila,
maka sikap ini perlu dibetulkan dan diubahsuai.

Dalam konsep pendidikan Islam, kedua-dua golongan, sama ada yang baik mahupun yang nakal atau jahat, samasama memerlukan perhatian. Yang nakal dan jahat perlu
dididik dengan rasa takut kepada Tuhan supaya mereka jadi baik. Yang sudah semulajadi baik perlu dididik supaya baik mereka itu bukan setakat baik semula jadi tetapi baik kerana takutkan Tuhan. Murid jahat mesti jadi baik kerana takutkan
Tuhan. Murid baik juga mesti jadi baik kerana takutkan Tuhan.Kalau elemen “takutkan Tuhan” ini tidak ada, jahat sudah tentulah jahat tetapi baik belum boleh dianggap baik pada pandangan Islam. Baik semula jadi belum tentu baik. Murid jadi nakal dan jahat kerana disepanjang hidup merekatidak diperkenalkan kepada Tuhan. Oleh itu sifat takutkan Tuhan tidak ada. Justeru nafsu mereka tidak terdidik dan berkeadaan liar. Mereka berni buat sesuka hati dan mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Tidak ada apa-apa yang mereka takutkan. Tuhanpun mereka tidak takut. Kalaupun
mereka ini nampak baik dan tidak menimbulkan masalah disekolah atau di asrama, ini adalah kerana mereka takutkan hukuman dan tindakan disiplin. Jika kawalan kurang dan
mereka tidak diawasi sepenuhnya, kejahatan mereka akan timbul dan terserlah juga. Mereka terkawal hanya kerana adanya pencegahan yang bersifat luaran. Kalau pencagahan luaran ini kendur atau berkurangan atau mereka yakin tidak akan ditangkap, maka mereka akan berperangai mengikut sifat semulajadi mereka yang nakal dan jahat itu. Mereka takutkan hukuman lebih dari Tuhan.

Ada pula murid yang baik tetapi bukan kerana takutkan Tuhan. Mereka jadi baik kerana suasana keluarga mereka baik atau kerana suasana kampung mereka baik. Oleh itu mereka pun terikut menjadi baik. Baik ini baik semulajadi. Baik ikut suasana dan environmen. Kalau suasana tidak berubah, mereka akan kekal baik. Tetapi kalau suasana berubah dan mereka terpengaruh, terancam, tergugat atau teruji, sifat mereka yang baik itu akan hilang dalam sekelip mata. Sifat jahat mereka
pula akan terserlah.

Sifat baik seperti ini tidak mencengkam hati. Sifat baik ini belum lagi sifat hatinya yang sebenar. Ia belum jadi pakaian. Ia hanya melekat dan tidak bersemadi didalam hati. Ia tidak tahan diuji. Murid baik seperti ini pada hakikatnya masih jahat.Dia ada potensi untuk menjadi jahat. Ini kerana kejahatan masih bersarang dalam lubuk hatinya. Walaupun luarannya baik, hatinya masih jahat. Dia ibarat sebuah bom jangka. Kalau
suasana berubah, bila-bila masa sahaja dia akan meletup. Murid baik seperti ini mesti dididik supaya baiknya itu adalah kerana takutkan Tuhan dan bukan hanya kerana pengaruh keluarga, suasana dan environmen. Itu sebab kita lihat ramai pencuri, perompak, pembunuh dan perogol yang kita tidak sangka sebab mereka nampak macam baik namun hati mereka jahat. Datuk sendiri pun ada yang merogol cucunya.    


Rasulullah  ada bersabda:                                                                          

Maksudnya: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul
daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya.
Kalau jahat daging itu maka jahatlah orangnya. Ketahuilah,
itulah hati. ”

Di sini kita dapat faham bahawa untuk menjadikan seseorang itu benar-benar baik, hatinyalah yang patut dididik dan dijadikan baik. Untuk membaiki hati, perlu kepada didikan dan mujahadah untuk menundukkan nafsu. Kuncinya ialah dengan membawa hati dan nafsunya supaya takutkan Tuhan dan cintakan Akhirat. Murid jahat kena dididik hatinya. Murid yang baik pun kena dididik hatinya. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan.

Tuhan sudah tentu tidak menyukai orang yang jahat hati dan jahat perangainya. Tuhan juga tidak mengiktiraf orang yang baik perangainya tetapi jahat hatinya. Yakni orang yang berpura-pura baik atau yang berkelakuan baik tetapi bukan kerana dorongan hatinya tetapi atas alasan dan kepentingan lain atau memang sudah kebiasaannya begitu. Tuhan tidak melihat kepada lahir seseorang itu tetapi Tuhan melihat kepada
apa yang ada didalam hatinya.

Hakikat diri manusia itu adalah hatinya. Kalau baik hatinya maka baiklah dia. Kalau jahat hatinya, maka jahatlah dia walaupun dia tidak berbuat jahat dan pada lahirnya dia nampak baik. Kalau dia baik di sisi manusia kerana dia tidak membuat kejahatan, tetapi kalau hatinya jahat, dia tetap jahat di sisi Tuhan.

Orang yang membuat jahat lahir, dia ada dua kejahatan. Satu jahat lahir yang dibuatnya dan satu lagi jahat hati yang mendorongnya membuat kejahatan lahir tersebut. Orang yang jahat hati, dia tetap berdosa kerana kejahatan hatinya itu walaupun pada lahirnya dia tidak membuat apa-apa kejahatan. Kejahatan hati itu adalah segala sifat mazmumah ( sifat keji) yang bersarang dalam hati. Iaitu hasad dengki, panas baran, pemarah, dendam, sombong, angkuh, tinggi diri dan lain-lain
lagi. Ia adalah dosa batin, dosa rohaniah atau dosa hati. Ia adalah lebih halus dan lebih seni dari dosa lahir. Dosa lahir mudah kita kesan dan mudah kita bertaubat. Hendak buat dosa lahir pun bukan senang. Ia susah kerana kita kena berusaha untuk membuatnya. Ada banyak resiko. Tetapi dosa hati kita tidak sedar. Buat dosa hati pula mudah. Orang pun tidak tahu. Ramai manusia terlibat dengan dosa hati tanpa
bertaubat dan mati membawa dosa-dosa tersebut.


sumber Cikgu Suhaimi

1 comment... add one now

jebengotai jebengotai April 15, 2012
tidak kira budak tu jahat atau baik..perlu dididik sama rata..jgn melebih2kan pihak yg lain..

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.