WALAUPUN sudah 100 tahun berlaku, tragedi kapal mewah RMS
Titanic yang tenggelam di Lautan Pasifik masih lagi menjadi tanda tanya para
pengkaji.
Bagaimana sebuah kapal yang dilengkapi teknologi paling
canggih ketika itu dan didakwa tidak mungkin tenggelam akhirnya 'tersungkur' ke
dasar laut disebabkan berlanggar dengan bongkah ais, pukul 11.40 malam (waktu
kapal) pada pagi Ahad 14 April 1912, sebelum ia tenggelam sepenuhnya dalam
tempoh dua jam empat puluh minit kemudian iaitu pada pukul 2.20 pagi Isnin (15
April 1912).
Sehingga kini aura misteri itu masih kekal bersama 'bangkai'
kapal itu di dasar Lautan Pasifik, namun saluran History (Saluran Astro 555)
buat pertama kalinya akan mendedahkan penemuan-penemuan terbaharu mengenai
tragedi Titanic kepada umum.
Bersempena ulang tahun ke-100 tragedi Titanic, saluran
History akan mempersembahkan sebuah dokumentari berjudul Titanic Mystery Solved
pada 15 April ini.
Dokumentari itu akan merakamkan detik-detik misi paling
mutakhir, mendedahkan cebisan-cebisan bangkai kapal Titanic yang tidak pernah
dilihat sebelum ini.
Usaha yang turut melibatkan pakar-pakar kajian laut termasuk
pihak dari RMS Titanic Inc. itu akan mendedahkan penemuan baharu dan peta
pertama komprehensif bagi tempat persemandian Titanic. Ia meliputi sebuah
kawasan lantai laut seluas 13 kilometer persegi dan kewujudannya dapat membantu
merungkai teka-teki sekurun usia tentang kesilapan apakah yang telah berlaku
dan menentukan siapa atau apa yang bertanggungjawab ke atas tragedi tersebut.
Salah seorang yang turut terlibat dalam ekspedisi penemuan
baharu kapal Titanic itu adalah Penerbit Eksekutif dokumentari Titanic Mystery
Solved saluran History, Carl Lindahl.
Menurutnya, terdapat banyak misteri yang berputar tentang
kapal Titanic iaitu bagaimana kapal yang sepatutnya tidak boleh tenggelam boleh
tenggelam dalam pelayaran pertama secara ironiknya.
"Apa yang menyebabkan kapal Titanic tenggelam?
Bagaimana kapal yang begitu bagus boleh tenggelam dan bagaimana begitu ramai
orang mati. Soalan-soalan ini tidak pernah terdedah dan dijawab sepenuhnya.
Disebabkan itu, mengapa kami dan para pengkaji lain masih melakukan pencarian
dan setelah 100 tahun kejadian itu berlalu kami sudah menemui jawapannya,"
ujarnya.
Ia turut dipersetujui oleh pengarah, penerbit dan penulis
dokumentari yang sama iaitu Rushmore Denooyer.
Menurutnya: "Kapal yang mempunyai teknologi terbaik
sepatutnya tidak dapat tenggelam tetapi ia tenggelam pada perjalanan pertama
dan dua pertiga orang di dalam kapal itu mati".
Merungkai bagaimana penemuan kali ini akan mengubah sejarah
Titanic, Ungkap Carl, ia adalah jawapan kepada beberapa misteri yang masih
belum dapat diselesaikan sejak kapal itu tenggelam.
Menyambung bicara Carl, ujar Rushmore pula, Titanic
merupakan kapal pertama yang tenggelam dikaji dengan teliti dan
didokumentasikan.
"Ekspedisi ini akan menceritakan semuanya. Tiada
ekspedisi dan pemetaan dilakukan secara menyeluruh dan teliti seperti mana kali
ini.
"Ia merupakan satu anjakan paradigma untuk semua pihak
yang mengkaji kapal karam. Saya fikir dengan penemuan baharu yang akan
disiarkan di saluran History nanti akan mengubah sejarah Titanic,"
ujarnya.
Mengenai sama ada pihak saluran History turun ke dasar laut
untuk melihat sendiri bangkai kapal Titanic, kata Rushmore, tiada seorang
manusia pun yang turun ke dasar laut melihat kapal tersebut.
"Semua kerja siasatan dilakukan dengan menggunakan
beberapa robot untuk mengambil beribu-ribu gambar serta membuat rakaman video
tentang keadaan bangkai kapal yang tenggelam sedalam empat kilometer di dasar
laut itu.
TITANIC mampu terapung dengan sebarang dua ruang tengah dipenuhi air atau empat bahagian pertama dipenuhi air. Sekiranya lebih daripada itu, ia akan tenggelam. |
"Gambar yang diambil menggunakan kamera berteknologi
tinggi itu dengan jelas menunjukkan keadaan landasan dan sauh kapal tersebut.
Robot tersebut membawa turun lima hingga tujuh buah kamera dan ia dikawal oleh
operator di atas kapal," ulasnya.
Berkongsi pengalaman ekspedisinya, kata Rushmore, mereka ada
menemui beberapa objek yang agak kecil seperti saiz pintu.
"Ada juga objek seperti pinggan, pakaian, kasut serta
botol wain yang masih kelihatan," ulasnya lagi.
Menurut Rushmore, gambar yang diambil memberi pemahaman yang
lebih jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku ke atas kapal itu pada 15 April
1912.
Gambar-gambar itu juga adalah hasil pelaburan bernilai
puluhan juta ringgit serta ekspedisi selama dua bulan yang menggunakan beberapa
pendekatan berbeza untuk mendapatkan imej yang tidak pernah dilihat sebelum
ini.
"Imbasan tepi dan multi sinaran sonar digunakan untuk
menyimpan setiap butiran kapal itu dan menilai perubahan yang berlaku sejak
ekspedisi sebelum ini," katanya.
Jelas Rushmore lagi, ekspedisi tersebut diketuai oleh RMS
Titanic Inc. yang telah pergi ke lokasi Titanic tenggelam pada masa lalu dan
mengumpul lebih 5,000 artifak.
"Di samping itu, pakar pengimejan dalaman air yang terbaik
pula menyediakan kami alat sonar ekspedisi untuk bekerja dan mewujudkan peta
ini ke atas keseluruhan tapak tragedi. Terdapat banyak kontraktor lain serta
saintis. Ia merupakan satu kumpulan yang sangat majmuk," jelasnya.
"Terdapat banyak kumpulan dan individu yang berbeza
bekerja dalam ekspedisi ini. Sebagai contoh, mereka yang menghasilkan sonar
pengimbasan tapak yang telah digunakan dalam ekspedisi ini," balas Carl
pula.
Carl dan Rushmore turut menjawab persoalan mengenai kejadian
Titanic karam yang dikaitkan dengan mitos kononnya berlaku sumpahan ke atas
kapal tersebut.
Tambah Carl, tragedi Titanic tenggelam sangat ironik dan
dramatik. Manusia membuat ramalan bahawa kapal tersebut tidak akan tenggelam.
Namun perkara yang sebaliknya berlaku apabila ia tenggelam dalam pelayaran
sulungnya. Ia seolah-olah satu sumpahan.
"Saya belum dengar apa-apa legenda atau sumpahan
mengenai Titanic jadi saya tidak boleh mengulas tentang itu," ujarnya.
Ia turut dipersetujui Rushmore yang memberitahu, manusia
kadang-kadang alpa dengan teknologi yang canggih tanpa menyedari ada kuasa lain
yang mampu memusnahkan teknologi tersebut.
"Kita kadang-kadang menjadi terlalu kagum dengan
teknologi ciptaan sendiri dan kita sering melupakan kuasa alam semula jadi.
Dengan kemajuan teknologi kita tidak dapat mengawal alam semula jadi. Walau
bagaimanapun, alam semula jadi masih lebih kuat daripada teknologi yang kita
ada," ujar Rushmoore.
Sementara itu, Pengurus Besar, AETN All Asia Networks, Louis
Boswell pula berkata, selain daripada membuat pemetaan ke atas keseluruhan
tapak tragedi, siaran istimewa itu juga akan mendedahkan buat julung-julung
kalinya gambaran sebenar bagaimana kapal itu boleh terbahagi lalu karam melalui
penggunaan hangar virtual.
"Teknik siasatan nahas kapal angkasa ulang-alik dan
pesawat (membuat pemetaan ke atas tapak bangkai kapal dan menyusun semula di
hangar) digunapakai dan para pakar akan menghasilkan satu binaan holografik
bagi tapak bangkai kapal di hangar.
"Belum pernah ada sebarang rancangan sempena ulang
tahun lain yang memaparkan kisah eksklusif tentang ekspedisi unik dan
pendedahan cukup luar biasa ini. Dalam tempoh 25 tahun semenjak bangkai kapal
Titanic ditemui, tiada siapa pernah meneroka mahupun memetakan kawasan tapak
bangkai kapal.
"Tiada siapa yang memiliki sebarang petunjuk akan apa
yang sebenarnya telah berlaku pada malam nahas itu. Hampir separuh daripada
kawasan tapak tidak dapat dijelajahi dan diperlihat. Malah, bahagian penting
kapal yang mampu mendedahkan bagaimana ia boleh terbahagi juga tidak
kelihatan," ujarnya.
Kini selepas 100 tahun, ulas Louis, setiap inci tapak
karamnya kapal ini akhirnya telah pun diketahui. Dokumentasi dilakukan bagi
merakamkan tempat sebenar ia tunduk karam di lantai laut sedekad yang lalu.
Katanya, di penghujung kisah Titanic Mystery Solved,
penonton akhirnya akan mengetahui keseluruhan kisah yang membawa kepada
bersemadinya Titanic di dasar laut.
Penemuan sulung bangkai kapal Titanic pada tahun 1985 oleh pasukan yang diketuai oleh Jean-Louis Michel dan Robert Ballard menjadikan Titanic kekal terkenal sehingga kini. |
"Kisah kapal Titanic yang tenggelam telah menarik minat
jutaan manusia di segenap pelosok dunia sehingga ia menjadi inspirasi kepada
sebuah filem yang berjaya sepanjang zaman.
"Semuanya itu telah memperhalusi sejarah kejadian buat
ramai orang. Kami mahu melihat semula tragedi ini dari sudut saintifik dan
mencari kebenaran di sebalik apa yang telah terjadi pada malam 15 April 1912.
"Oleh itu Titanic Mystery Solved merupakan bingkisan
terhebat yang menjelaskan bagaimana Titanic telah karam dan ia turut
mengungguli program-program lain yang pernah dibuat bersempena dengan ulang
tahun sesuatu," ujarnya lagi.
Sejak ahli oseanografi, Robert Ballard dan kumpulannya
menemui bangkai kapal Titanic itu pada 1985, beberapa ekspedisi telah dilakukan
untuk mengumpul maklumat tentangnya sehingga kini.
Pengarah filem Titanic, James Cameron turut mengadakan
ekspedisi ke lokasi itu bagi mendapatkan gambaran jelas tentang keadaan rupa
bentuk kapal tersebut.
sumber : kosmo