Boikot Astro Bermula : 70 NGO Saran Ahli Henti Bayar Bil


KUALA LUMPUR – Kempen pemboikotan Astro bermula hari ini apabila lebih 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru tiga juta ahli dan penyokong mereka supaya tidak membuat pembayaran bil selama tiga bulan berturut-turut ke stesen televisyen berbayar itu.
Arahan itu turut meliputi pemboikotan terhadap barangan dan pengiklan yang mengiklankan produk mereka di stesen televisyen berkenaan.


Langkah ini diambil setelah amaran dan rayuan yang dibuat sebelum ini dipandang sepi oleh Astro malah stesen itu dilihat semakin angkuh mempertahankan pendirian mereka.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, walaupun tanpa Astro, pengguna kini masih boleh beralih kepada perkhidmatan Unifi dan juga perkhidmatan menggunakan aerial seperti yang wujud selama ini.

” Kita tak mati tanpa Astro, kita juga bukan nak bermusuh dengan mereka, tetapi kita tidak mahu mereka sesuka hati menekan kita dengan pelbagai bayaran seolah-olah mereka mempunya kuasa mutlak untuk berbuat apa saja sehingga sanggup mengetepikan pandangan pelanggan, termasuk arahan daripada kerajaan sendiri.
” Astro jangan pandang remeh kempen ini kerana kita pernah berjaya dalam kempen pemboikotan beberapa barangan sebelum ini dan kita akan membuktikan sekali lagi ‘kemampuan’ kita pada stesen televisyen terbabit.
” Sekejap lagi kita akan mula menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada semua ahli , kempen ini akan berkuatkuasa sehingga Astro akur pada permintaan kita” tegasnya.





Tunku Azwil menambah, dengan memperoleh keuntungan sehingga RM800 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 2010, tidak ada sebab untuk Astro terus menekan pelanggan mereka dengan caj yang melampau.
Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.
Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Bagaimanapun notis mengenai kenaikan bayaran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Astro kepada pelanggannya dianggap tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Dalam perkembangan yang sama, Tunku Azwil berkata, usaha licik Astro juga jika tidak dibendung, akan membunuh masa depan industri penyiaran negara.

” Untuk pengetahuan anda, Astro mengenakan caj iklan yang rendah kepada syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka, iaitu sama dengan kadar iklan stesen radio.
” Caj ini sudah tentu tidak boleh ditandingi oleh stesen televisyen tidak berbayar seperti RTM dan TV3, akhirnya pengiklan akan lari ke Astro secara perlahan-lahan dan kesemua stesen televisyen percuma ini pasti akan mengalami kesukaran untuk bertahan,” ujarnya.

Mengenai pandangan yang mengatakan pihak Astro terpaksa menaikkan kadar cajnya disebabkan program berkualiti yang disediakan, Tunku Azwil berkata, ia bukanlah alasan untuk menambahkan beban.
Ujarnya, jika itu dijadikan alasan untuk menaikkan harga, ia ibarat satu ‘ugutan’ kepada para pelanggannya.

” Kepada kerajaan, tolonglah bela hak pengguna kerana kita dah ada pelbagai akta seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
” Pengguna muak dengan gelagat Astro yang sudahlah memonopoli pasaran hampir 20 tahun lamanya, mereka juga bertindak berlawanan dengan semangat 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan,” ujarnya. – OlehSYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)

2 comments.. read them below or add one

hawiz hawiz June 28, 2011
betol2...boikot jln terbaik...hehe...
si cantik sally si cantik sally June 28, 2011
umh sy tak sempat psg astro sbb tahu mmg x bebaloiii...huuu terselamat la plak...

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.