Sekeping serpihan kapal terbang dijumpai terdampar di pulau La Reunion, di Lautan Hindi pada Rabu, mencetuskan spekulasi ia mungkin sebahagian daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, lapor AFP.
Serpihan misteri berukuran 2 meter itu kelihatan seperti sebahagian daripada sayap kapal terbang, ditemui mereka yang sedang membersihkan pantai.
“Ia diselaputi kulit kerang, jadi boleh dikatakan ia sudah lama berada dalam air,” seorang saksi dipetik berkata kepada AFP.
Pegawai pengangkutan udara Perancis sudah mula menyiasat dari mana asal serpihan itu. Xavier Tytelman, pakar keselamatan udara berkata, ia mungkin serpihan milik MH370 yang hilang tanpa kesan pada 8 Mac, 2014.
Beliau menyatakan gambar media tempatan menunjukkan "persamaan yang luar biasa antara flaperon #B777 dan serpihan yang ditemui," merujuk kepada sebuah Boeing 777, model pesawat yang hilang itu.
Sepanjang tempoh kehilangannya, tidak ada satu pun serpihan daripada pesawat itu ditemui, menjadikan ia misteri terhebat dalam dunia penerbangan.
Pihak berkuasa Malaysia mengisytiharkan semua penumpang dan anak kapal MH370 maut, pada Januari lalu.
Pesawat itu, yang membawa 239 penumpang dari 14 negara berbeza, sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ia berlepas pada 12.41 pagi pada Sabtu, 8 Mac, 2014 dan sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
-----------
Lelaki berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu dan beliau berkata, ia mungkin milik pesawat hilang berkenaan. "Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan," katanya kepada The Telegraph. "Dan kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 - pesawat yang sama seperti MH370. "Polis di Pulau Reunion yang memeriksa serpihan itu berkata ia mungkin berada di dalam air kira-kira setahun, bermakna ia mungkin merujuk kepada MH370.
Bagaimanapun, Tytelman percaya bahawa lokasi di Lautan Hindi adalah lebih logik bagi serpihan pesawat itu dihanyutkan. "Polis Perancis kini sedang menyiasat dan Australia yang mengetuai pencarian itu turut berminat. Kami tidak tahu berapa lama untuk mendapatkan pengesahan atau sebaliknya. Tapi ini adalah satu perkembangan yang menarik minat," katanya.
Tytelman dalam blognya berkata, gambar-gambar serpihan itu mencetuskan minat yang signifikan dalam laman web AvGeek - forum tertutup di kalangan juruterbang. Katanya, banyak perbincangan mengenai bahagian kod pada serpihan berkenaan iaitu BB670. "Kod itu bukan nombor plat pesawat atau pun nombor siri peralatan mesin. "Tapi jika sayap itu milik MH370, adalah jelas bahawa rujukan itu akan dapat dikenalpasti. Dalam beberapa hari lagi kami akan dapat jawapan yang muktamad," katanya.
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.