Apa Hukum Berus Gigi Ketika Puasa?, Hukum Memberus Gigi Semasa Berpuasa - Semasa berpuasa, ramai yang masih keliru berhubung isu memberus gigi semasa berpuasa, ramai yang tidak mengetahui dan keliru, apakah hukum memberus gigi ketika berpuasa, adakah makruh atau haram yang boleh membatalkan puasa? dan pertanyaan ini dijawap oleh Dr Maza. Semoga penerangan yang diterangkan oleh Dr Maza jelas dan dapat difahami dengan mudah.
Hukum Memberus Gigi Semasa Berpuasa
Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:
“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”.
Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata:
“Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).
Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Artikel Kedua ( menjawab persoalan menggunakan berus gigi berserta ubatnya)
Hukum bersugi ketika puasa adalah harus dan ini berdasarkan kepada hadis dari Abu Hurairah ra yang bermaksud :“Seandainya aku tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak pada setiap kali wudhuk” (Riwayat Imam Malik, Ahmad, Nasai)
Rumusan yang dapat diambil dari hadis di atas ini ialah tiada penegahan bersugi atau bersiwak di waktu puasa Bulan Ramadhan. Maka tidak haram bagi sesiapa yang ingin membersihkan gigi mereka pada waktu berpuasa.
Makruh bagi sesiapa yang bersugi untuk menghilangkan bau mulut mereka yang berpuasa, ini berdasarkan kepada hadis yang bermaksud :
“Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi".
Orang yang bersugi ketika waktu zohor (tengahari) ke atas, boleh membuatkan puasa mereka menjadi makruh kerana dapat menghilangkan bau mulut dari hasil puasa mereka. Begitu juga orang yang berlebihan dalam bersugi. Pendapat ini adalah dari ulamak Syafie.
Ada setengah orang bersugi hingga muntah-muntah, hal seperti ini boleh membatalkan puasa kerana mereka sengaja menyebabkan muntah. Hendaklah berhati-hati dalam bersugi jangan disebabkan untuk membersihkan gigi atau amalan sunat dapat membatalkan amalan yang telah diwajibkan oleh Allah seperti puasa Bulan Ramadhan.
Sheikh Muhammad Ibn Saleh al-Uthaimin mengatakan bahawa menggunakan ubat gigi ketika berpuasa di Ramadhan dan selainnya tidaklah mengapa baginya selagi tidak ia masuk dalam perut. Tetapi lebih baik ditinggalkan dari melakukannya kerana atasnya itu mengandung pengaruh yang kuat untuk menembusi perut sedangkan insan itu tidak menyedarinya.
Kerana itu, Rasulullah saw bersabda kepada Qait bin Sabrah :
"Berlebihanlah dalam berkumur melainkan engkau berpuasa."
Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa adapun mengenai ubat gigi, maka perlulah dia menjaga dari berlebihan supaya tidak dia masuk sesuatupun darinya ke dalam perut dan inilah pendapat yg dikeluarkan oleh kebanyakan ulamak. Maka aula dijauhkan muslim dari melakukannya dan dia mengakhirkan kepada selepas berbuka puasa. Akan tetapi, apabila melakukannya hendaklah dia berhati-hati padanya.
Tetapi jika dia berhati-hati dan termasuk juga sesuatu ke dalam perutnya, maka ia dimaafkan. Allah swt berfirman :
"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
"Diangkat dari umatku kesilapan, kelupaan dan apa sahaja yang dipaksakan atasnya."
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.