MUHASABAH DIRI - 1

ORANG MUKMIN DAN SIKAPNYA
1.Sikap orang mukmin dengan Allah, Tuhannya
Tuhan sangat dibesarkannya, melalui ibadah sembahyang,
zikir, membaca Al Quran, tasbih dan tahmid. Rasa bertuhan sangat mendalam hingga terserlah pada mukanya dan sikap
hidupnya. Misalnya merendah diri, pemalu, sabar, redha, tenang,
pemurah, tawakal, pemaaf, bertolak ansur dan berdisiplin,
sehingga melihat mukanya mengingatkan kita kepada Allah dan
hari Akhirat. Melihat mukanya kita rasa senang dan tenang.

2. Sikap orang mukmin dengan syariat
Syariat sangat dijaga. Pakaiannya menutup aurat, bersih dan
kemas. Makan minumnya sangat dijaga yang haram dan
syubhatnya. Pergaulan dijaga daripada bergaul bebas lelaki dan
perempuan yang bukan muhram. Matanya selalu ditundukkan.
Percakapannya disukat dan dikawal daripada tersalah dan tersilap.
Pendengarannya juga begitu, sangat dijaga daripada mendengar
perkara-perkara yang haram. Masanya tidak dibiarkan

terbuang dengan sia-sia. Setiap peralihan waktu dia pandai
menggunakannya untuk diisi dengan perkara-perkara yang
berfaedah atau kerja-kerja yang sesuai dengan waktu itu.

3. Dengan gurunya
Dia sangat menghormati gurunya. Malu ketika di hadapannya,merendah diri dengannya. Sekalipun guru yang mengajarnya
tentang ilmu dunia. Jasa gurunya selalu dikenang seperti menyebut-
nyebut nama dan jasa. Bila ada masa selalu menziarahinya,
memberi bantuan dan hadiah. Bukan sahaja gurunya dihormati,
bahkan isteri-isteri gurunya dan anak-anak gurunya dihormati.
Kesalahan gurunya dilupakan, apatah pula dihina dan diberi
malu serta diumpat, pasti tidak akan dilakukannya, sebaliknya
selalu mendoakan gurunya pula.

4. Dengan ibu bapa
Ibu bapa sangat dihormati, sangat merendah diri di hadapannya,
jasa mereka selalu dikenang, bahkan dibalas selalu. Kesusahannya
dibantu. Kalau senang diberi hadiah selalu. Selalu menziarahinya,
sering mendoakannya, aibnya ditutup, bercakap
dengan ibu bapa tutur bahasa sangat dijaga. Kalau ibu bapanya
memarahinya, dia tidak akan melawan. Kalaupun perlu bercakap
sekadar menjelaskan.

5. Dengan kawan
Pandai bergaul dengan kawan, setia dengan kawan. Kesusahan
kawan ditolong dan dibantu apatah lagi kalau diminta. Suka
menziarahi kawan kalau ada masa. Janjinya ditepati, aibnya
ditutupkan, anak dan isterinya dimuliakan. Kesalahannya
dimaafkan walaupun tanpa diminta. Kalau dia yang membuat
salah cepat-cepat meminta maaf. Menziarahi kawan memilih
waktu, waktu ziarah tidak meliarkan mata, kehormatan keluarga
kawan dijaga.

6. Dengan manusia umumnya
Dalam pergaulan dengan manusia umumnya, pandai pula
menyesuaikan diri. Dalam pergaulan dia sedar diri hingga pandai
meletakkan diri pada tempatnya sesuai dengan kedudukannya.
Pandai melayan orang sesuai dengan kedudukannya
dan mengikut tarafnya. Kalau dia seorang yang pandai, atau
kaya, atau berpangkat, dia tidak akan sombong atau menunjuk
nunjuk diri di depan orang ramai. Dia tetap tawadhuk dan
merendah diri. Dan kalau dia orang yang serba kurang tidak
pula rasa rendah diri atau hina diri lebih-lebih lagi tidak mudah
dihambakan orang. Kalau dia susah, tidak akan meminta-minta
apalagi menipu. Dia tetap menjaga maruah dirinya. Mudah
memberi salam dan mudah pula menjawab salam orang.

7. Dengan tetamu
Dia sangat menghormati tetamu, mengutamakan keperluan
tetamunya, sangat dijaga seperti makan minum dan tempat
tinggalnya. Datangnya disambut, kepulangannya dihantar
hingga di hadapan pintu atau di hadapan rumahnya hingga
hilang dari pandangannya. Memberi hadiah kepada tetamu atau
memberi buah tangan kalau ada di waktu mampu.

8. Dengan anak isteri
Dia mengelokkan pergaulan dengan mereka. Memberi nasihat
dan memimpin mereka selalu. Kesilapan mereka dibetulkan
dengan bijaksana. Sabar dengan kerenah mereka. Beribadah
fardhu bersama, makan bersama. Kewajipan terhadap anak isteri
ditunaikan. Mendidik dan mendisiplinkan mereka di dalam sebarang
perkara. Anak-anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang.
Anak yang masih belajar didisiplinkan mereka. Jangan sangat
tunjukkan kasih sayang dan jangan tunjukkan benci. Anak yang
sudah dewasa atau sudah berkeluarga, dilayan macam kawan,
ajak mereka berbincang. Berbual-bual dengan mereka. Dengan
isteri perlu ada gurau senda yang tidak berlebih-lebihan, berbual-
bual dengannya sesuai dengan kedudukan isteri untuk
mengambil dan menjinakkan hati isteri itu bagi yang ramai isteri.
Bagi orang yang berpoligami, bertolak ansur dalam hal-hal yang
dibolehkan. Boleh juga tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang
dibolehkan, di masa-masa tertentu untuk didikan mereka.

9. Dengan situasi
Orang mukmin sentiasa menjaga maruah diri. Kalau dia lalu di
tempat-tempat yang penuh dengan keadaan-keadaan yang boleh
melalaikan dan boleh jatuh kepada haram, atau yang boleh
menggugat iman, dia tidak akan terpengaruh. Dia tetap terhormat
dengan tidak meliarkan pandangan, tidak membuka
telinga untuk laluan perkara-perkara yang melalaikan itu. Seolah-
olah dia tidak melihat apa-apa di sekelilingnya, seolah-olah
tidak ada apa-apa terjadi. Hatinya tidak rosak oleh suasana sekelilingnya.
Keadaannya macamlah ikan di laut, dia tidak masin
oleh masinnya air laut.

10. Dengan ilmu
Orang mukmin sentiasa menambah ilmu dan pengalaman.
Makin berumur semakin banyak ilmu. Semakin tua, ilmunya
juga ikut tua dan matang, semakin luas pengalaman. Ia sangat
peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil iktibar dan pengajaran.
Setiap isu semasa, pandai pula dia mengambil hikmahnya
serta pandai menilai buruk baiknya hingga mendapat ilmu
pengajaran darinya serta dia boleh menetapkan pendirian dan
sikapnya terhadap isu tersebut. Tambahan pula orang mukmin
itu sepatutnya mengambil tahu setiap kejadian di dunia ini.
Sebab itu orang mukmin tidak mudah tertipu dan ditipu, tidak
mudah terpengaruh dengan yang negatif tapi mudah terpengaruh
dengan yang positif. Orang mukmin tidak mudah dicorak
tapi mudah mencorak.

11. Dengan masa
Orang mukmin sangat menjaga masa. Masa tidak dibuang dan
disia-siakan begitu saja. Setiap masa diisi dengan sesuatu yang
berfaedah. Bahkan pandai membahagi-bahagikan masa diisi
dengan jadual hidupnya. Ada masa untuk beribadah, ada masa
untuk membaca, ada masa untuk berjuang, masa untuk menziarah,
masa dengan anak dan isteri-isteri, masa untuk tidur
baring dan rehatnya. Kalau dia orang penting, ada masa untuk
tetamu dan orang-orang yang hendak berjumpa dengannya.
Begitulah seterusnya masa itu sangat berharga. Masa adalah
umurnya. Mensia-siakan masa ertinya mensia-siakan umurnya,
dia sudah tentu tidak akan mensia-siakan umurnya.

12. Dengan harta dan mata benda
Orang mukmin bila berhadapan dengan harta dan mata benda
kekayaan, sangat cemas dan bimbang, takut disalahgunakan,
kerana itu dia bersyukur dengan Tuhan. Menggunakan harta
benda kekayaan itu untuk Allah dan untuk khidmat kepada
manusia lebih-lebih lagi dia sangat cemas kalau-kalau dia membuat
kerja-kerja yang boleh membazirkan harta benda dan membuangnya
kepada yang haram dan sia-sia. Orang mukmin merasa
harta benda dan kekayaan adalah amanah Tuhan yang perlu
dipertanggungjawabkan sebaik-baiknya. Untuk diagih-agihkan
kepada yang sebenarnya dan yang empunyanya. Terutamanya
digunakan kepada fakir miskin dan kepada jihad fisabilillah.
SUMBANGAN  : EN SUHAIMI B ABD RAHIM
MUHASABAH DIRI - 1

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.