Biodata Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Biodata Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din, Latar Belakang Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din- Sebagaimana yang diketahui, Darussyifa' telah diasaskan oleh Yang Berbahagia Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan cara rawatan Islam kepada masyarakat umum di Malaysia. Sebagai anak murid, maka eloklah kita mengetahui latar belakang Tuan Guru semoga dengan itu lebihlah lagi kita sayang dan hormat kepadanya.



Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.


LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM



Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur'an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.

Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.

Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah. Walaupun beliau sering rnengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Belaiu juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada 'alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama' dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang 'alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh .

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bemama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur'an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.



Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur'an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa' lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

Pendidikan


• Madrasah al-Islahiyah al-Wataniah, Bohor Mali

• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor

• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)

• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – Universiti Al-Azhar (1966-1968)

• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)

• PhD Syariah – Universiti Darul Ulum, Kaherah (1972-1974)


Pengenalan


Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijriyah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis.  Beliau merupakan anak ke tiga daripada 10 orang adik beradik yang terdiri daripada seorang abang dan kakak serta seorang adik lelaki juga enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga merupakan tokoh agama yang disegani di Malaysia iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din.Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, kehidupan beliau telah terdidik sejak kecil lagi dalam keadaan baik dan ilmiah. Ibu bapa beliau berkhidmat sebagai guru al-Quran kepada masyarakat setempat pada ketika itu. Ia suatu peluang baik kepada beliau serta adik beradiknya yang lain untuk lebih mendalami bidang al-Quran.

Oleh kerana kealiman dan keilmuan ayahanda Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din, dia dikenali sebagai Lebai Din. Semasa zaman remaja Lebai Din  telah merantau mencari ilmu dari Phatani sehingga sampai ke Perlis dan menetap di Kampong Bohor Mali kerana di situ adalah tempat pengajian ilmu. Beliau telah menetap dan berumahtangga di situ. Lebai Din dikenali umum sebagai seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan secara Islam. Selain daripada itu, Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani.

Namun, ilmu persilatan ini tidak diperturunkan kepada anak-anaknya. Akan tetapi, ilmu pengubatan Islam ini tidak terhenti setakatnya sahaja. Ilmu ini telah diperturunkan secara pengijazahan dengan menyerahkan buku catatan pengubatannya kepada Ustaz Haron Din. Memandang minat dan kecenderungan terhadap ilmu pengubatan Islam, Ustaz Haron Din sahaja terpilih untuk mewarisi ilmu pengubatan Islam daripada ayahandanya.


Kehidupan berumahtangga

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din telah mengakhiri zaman bujangnya ketika berusia 25 tahun  dengan seorang wanita pilihannya Datin Khadijah binti Haji Salleh.  Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka telah dikurniakan lima orang cahayamata, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan . Anak-anak  mereka  ialah Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana .

Pendidikan Awal

Tuan Guru Dato’ dan adik beradiknya yang lain diwajibkan mempelajari ilmu agama terutama pengajian al-Quran. Oleh kerana itu, beliau menerima pendidikan awal daripada ayah dan ibunya sendiri. Sikap keprihatinan ayah beliau dalam memberi didikan agama kepada anak-anak, sehinggakan tidak membenarkan anak-anaknya mendapat pendidikan selain daripada pendidikan agama di pondok. Tidak seorang pun anak-anaknya yang mengikuti persekolahan secara formal pada  ketika itu. Setelah menamatkan pengajian di peringkat pondok, rumah pula menjadi tempat bagi beliau mendalami bidang al-Quran dipimpin oleh ayahnya. Beliau bukan sahaja diajar kaedah bacaan al-Quran dengan betul, malah dilatih dan diberi kepercayaan sebagai pembantu ayahandanya mengajar al-Quran kepada anak-anak qaryah. Beliau juga telah dilatih menjadi imam solat dan tenaga pengajar fardu ain kepada umum.

Ayahanda beliau seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Tidak pernah lekang di tangannya rotan untuk menghukum anak-anaknya apabila melakukan kesalahan. Manakala bondanya pula, seorang ibu yang memiliki sifat keibuan sempurna. Dengan perwatakan baik sebagai seorang ibu, dengan sifat lemah lembutnya, dia berjaya mendidik dan membentuk anak-anak secara berhikmah dan berbeza dengan cara suaminya. Dengan kombinasi kedua-dua bentuk didikan ini, maka terbentuklah keperibadian baik kepada  tokoh ini. Ia menjadikan Tuan Guru Dato’ seorang yang amat tegas pendiriannya dalam membela, mempertahan dan memperjuangkan agama di tanahair. Tambahan, sifat lemah lembut ibunya juga telah diwarisi oleh beliau. Beliau amat berlemah lembut dalam tutur katanya serta mesra dengan mad’unya tanpa mengira batasan usia, pangkat dan kedudukan.

Pendidikan Sekolah Rendah (Ibtidaii)

Setelah menjangkau usia Tujuh tahun, ayahandanya telah menghantar beliau belajar di sebuah sekolah aliran pondok di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali yang terletak hanya lebih kurang 100 meter dari rumahnya. Walaupun jarak antara pondok dan rumahnya amat dekat, namun beliau mengambil keputusan menetap di pondok supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan dalam pada itu dapat mendidik diri hidup secara berdikari.

Suatu ketika, Tuan Guru Dato’ telah dihadiahkan seutas jam tangan berjenama Holok oleh bapa saudara kepada Almarhum Haji Zakaria. Hadiah tersebut diberikan kepada beliau sebagai satu anugerah kerana telah mendapat tempat pertama dalam kelas dua. Pemberian yang amat bernilai itu membuatkan beliau sangat gembira dan bersyukur kerana memilikinya.

Kecenderungan Tuan Guru Dato’ terhadap bahasa Arab mula berputik semenjak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah tersebut. Pendekatan pengajian bahasa Arab secara berinovasi dan menyoronokkan daripada guru beliau, ustaz Shafie Omar, sedikit sebanyak telah memberi rangsangan kepada beliau untuk terus mendalami matapelajaran bahasa Arab ini.

Berbekalkan keazaman dan kesungguhan serta minat yang mendalam dalam diri, menjadikan bahasa Arab sebagai alat untuk beliau menimba ilmu-ilmu wahyu dengan lebih jauh. Berteraskan kemahiran bahasa Arab inilah, beliau dapat menggali khazanah ilmu dari sumber-sumber muktabar dalam bahasa Arab dalam pelbagai bidang ilmu termasuk aqidah, fekah, muamalat Islam, siasah Islam, perubatan Islam, kekeluargaan dan sebagainya.

Satu pengajaran yang dapat kita ambil di sini mengenai kepentingan pendidikan bahasa Arab kepada generasi muda supaya mereka dapat menyelami dan mendalami pusaka khazanah ilmu peninggalan ulama-ulama Islam terbilang. Amatlah wajar dielakkan tanggapan sesetengah orang yang beranggapan bahawa bahasa Arab ini bahasa yang sukar dipelajari dan difahami sehinggakan wujudnya golongan yang anti atau fobia dengan bahasa al-Quran juga bahasa syurga. Sesungguhnya Allah telah permudahkan bagi kita untuk mempelajari bahasa al-Quran.


Pendidikan Sekolah Menengah Rendah (I’dadiah)

Setelah beliau menamatkan pengajiannya di sekolah pondok Madrasah Islahiyah al-Diniah beliau telah menyambung pengajian ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah. Perpindahan beliau ke sekolah menengah memberi maksud penerusan perjuangan beliau yang lebih mencabar dalam mendalami ilmu pengetahuan agama. Tambahan pula, pada ketika itu jarak antara sekolah dan rumah beliau adalah lebih kurang 12 batu (20km). Kayuhan basikal sejauh 40km sehari, sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau dalam menuntut ilmu Allah S.W.T.

Bermula dari sinilah, terserlahnya kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan sifat kepimpinan. Di mana beliau telah mendapat tempat pertama (imtiaz) sepanjang tahun pengajian di situ. Sifat kepimpinan mula menyinar di mana beliau telah lantik menjadi ketua pelajar di sekolah. Keperibadian beliau yang cemerlang telah diakui oleh kedua-dua gurunya. Semasa belajar di sini, beliau dikenali sebagai seorang murid yang baik, cerdik, tekun dan fokus dalam pelajaran sehingga sentiasa berada dalam senarai pelajar  terbaik ketika itu.

Tuan Guru Dato’ hanya sempat menghabiskan pengajian pada tahap tiga thanawi sahaja. Kemudian beliau terpaksa meninggalkan sekolah tersebut kerana terlibat dalam satu gerakan pelajar untuk membantah campur tangan pihak luar yang cuba campur tangan pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah. Ia berikutan kerana, pada ketika itu ada pihak tertentu yang berhasrat menggantikan pentadbir baru yang bukan dari aliran atau lulusan agama. Akibat peristiwa ini, beliau telah di tahan lokap polis selama dua malam dan akhirnya beliau beserta seramai 60 orang rakannya telah dibuang dari sekolah sehingga mengakibatkan sekolah tersebut ditutup terus selama setahun.

Peristiwa ini membuktikan kepada kita semangat juang  dan ketokohannya sebagai pemimpin yang berkarisma dan bermagnetisma yang menjadikan pelajar-pelajar di bawah pimpinannya sanggup mendengar arahan dan sebulat suara menyokong dan mendokong hak yang diperjuangannya.

Di sini juga kita dapat lihat ketokohannya sebagai seorang yang mempunyai prinsip yang tinggi dalam kamus perjuangannya. Di ketika itu beliau sanggup mempertahankan prinsip dan kebenaran sehingga sanggup membayar satu harga yang cukup tinggi dalam hidupnya, iaitu penyingkiran daripada persekolahan.

Semasa penggantungan itu, beliau bersama seorang rakan karibnya Almarhum Ustaz Dahlan Mat Zin telah memulakan kembara berbasikal dari Arau ke Kuala Lumpur. Satu jarak yang agak jauh, dengan keadan fizikal jalan pada ketika itu.

Ini dapat membuktikan kepada kita kecekalan dan ketabahan beliau untuk mengharungi cabaran untuk melihat dunia luar. Apa yang dapat kita lihat sekarang, apabila beliau telah menjadi seorang ulama yang telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Sudah tentulah hari ini sudah tidak dengan basikal tua lagi tapi dengan kenderaan yang moden.

Pendidikan Sekolah Menengah Tinggi

Dalam tempoh penggantungan beliau itu, orang-orang kampung telah memberi nasihat dan galakan supaya beliau menyambung pengajiannya yang tergendala itu. Mereka sanggup mengumpul dana bagi membantu beliau untuk meneruskan pengajiannya. Beliau menyedari yang dirinya belum menamatkan persekolahan sehingga lima thanawi ketika itu, sedangkan syarat utama penerimaan masuk kolej islam wajib dengan lima thanawi.

Beliau merasa dirinya seperti angan-angan mat jenin untuk merealisaikan hasrat masyarakat. Beliau merasa dirinya amat kerdil ketika itu. Semua orang yang mohon berbekalkan sijil lima thanawi sedangkan dirinya hanya sempat belajar dua thanawi. Beliau dipujuk untuk memohon menulis surat dalam bahasa Arab kepada pihak Kolej Islam Malaya ketika itu. Akhirnya beliau memberanikan diri menulis surat permohonan tersebut dalam bahasa Arab bertulisan tangan. Berasaskan nilaian terhadap kandungan surat tersebut beliau telah dipanggil untuk ditemuduga. Sesi temudgua dijalankan  dalam bahasa Arab sepenuhnya. Beliau dapat mejawab soalan temuduga yang dikemukakan dengan baik. Akhirnya beliau diterima pada hari itu juga, sedangkan murid-murid lain pulang ke kampunng masing-masing menunggu surat jawapan temuduga.

Semasa beliau mengikuti pengajian di Kolej Islam Malaya ini, cabaran besar kepadanya ialah sistem pengajian di Kolej Islam itu disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya sedangkan kemampuan beliau hanya di tahap thanawi dua thanawi. Apa yang banyak membantunya untuk menyaingi pelajar lain dalam berbahasa Arab ialah sistem pengajian Madrasah ‘Alawiyyah yang juga menggunakan bahasa Arab sepenunhya semasa pengajian.

Menyedari dirinya tidak mempunyai kelulusan yang setanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyambung belajar di kolej itu, beliau telah menggembelingkan tenaga dan usaha dengan belajar  bersungguh-sungguh. Masanya banyak dimanfaatkan di perpustakaan. Ini menjadikan beliau kurang aktiviti luar dan kesukanan seperti pelajar-pelajar lain.

Cerita menarik Tuan Guru Dato’ ketika di Kolej Islam Malaya

Semasa menuntut di Kolej ini, pada suatu hari dua orang pelawat Arab dari Palestin telah datang melawat Kolej Islam. Pelawat tersebut telah diundang untuk menyampaikan ucapan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar kolej. Setelah selesai ceramah, beliau meminta Pengetua Kolej ketika itu Almarhum Dato’ Prof Abdul Raof Shalabi untuk mendengar ulasan dan komentar  dari seorang pelajar tentang Palestin. Pengetua menanyakan pelajar-pelajar siapa yang boleh memberi ucapan. Maka ketika itu Ustaz Mahyuddin yang mengenali Tuan Guru Dato’ telah mencadangkan beliau. Pengetua bersetuju dengan pilihan tersebut dan dia telah mengingatkan kembali ketika mana Tuan Guru Dato’ yang dapat menjawab soalan temuduga dengan cemerlang dan diterima pada hari itu juga belajar di kolej. Akhirnya beliau dipilih  untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab di majlis tersebut. Keupayaan dan keberanian beliau untuk berucap di khalayak di majlis itu mendapat sanjungan dari guru-guru dan rakan-rakan pelajar.

Cerita kedua ini berlaku pada tahun ketiga. Seorang pensyarah baru berbangsa Arab telah tiba berkhidmat di Kolej Islam iaitu Ustaz Abdul Wahab. Kebetulan bersempena dengan sambutan Maulid al-Rasul pihak Kolej telah menjemput beliau untuk meyampaikan ceramah. Pihak kolej telah melantik Ustaz Haron Din untuk menjadi penterjemah pada ketika itu.

Pada tahun ketiga di kolej, Guru beliau Ustaz Mahyudin Musa menugaskan  beliau menggantikannya  untuk menyampaikan ceramah di suatu tempat di Selangor iaitu di Sejangkang dalam satu majlis sambutan Isra’ Mikraj.

Semenjak dari itu, beliau sentiasa menerima undangan berceramah. Yang meneronokkannya setiap kali ceramah beliau akan mendapat wang saguhati RM50.00. Satu jumlah bayaran yang cukup tinggi di masa itu.

Pengajian di Kolej ketika itu disampaikan secara tutorial dalam bahasa Arab sepenuhnya. Pada petangnya, beliau telah diminta oleh rakan-rakannya untuk mengajar mata pelajaran yang sukar iaitu Mantiq dan Falsafah. Beliau bertindak sebagai tutor kepada mereka.

Di Kolej Islam Malaya atau namanya ketika itu al-Kuliah al-Islamiah, Kelang, Selangor, beliau memperoleh Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang.

Di Peringkat Pengajian Tinggi

Minat Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu pengetahuan tidak terhenti di peringkat pengajian tinggi sahaja. Dengan kecekalan dan kesungguhan dalam pengajian, beliau telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree”. Setelah tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir (1966-1968) dengan biasiswa tersebut. Semasa di Mesir, beliau telah mendaftar untuk belajar dua degree sekaligus iaitu Master di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti ’Ain Shams, Kaherah. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak ada ruang untuk mengikuti aktiviti luar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain ketika itu. Beliau terpaksa mengerah tenaga dan mental untuk belajar pagi dan petang. Masanya banyak dihabiskan dibilik perpustakaan untuk mendapatkan rujukan serta membuat kajian.

Semasa di Kaherah, beliau memilih untuk tidak tinggal bersama pelajar-pelajar Malaysia di asrama Rumah Melayu  kerana budaya pelajar Malaysia di Rumah Melayu hanya bergaul sesama mereka dan bercakap bahasa ibunda. Keadaan sedemikian tidak banyak membantu pelajar melayu mempraktik bercakap bahasa Arab. Beliau memilih untuk menyewa di luar bersama-sama dengan pelajar-pelajar Mesir. Ini memberi lebih banyak peluang baginya untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan penutur aslinya. Dua orang sahabat karibnya yang tinggal bersamanya di Kaherah ialah Lutfi Ali Omar dan Mahmud al-Kafif seorang yang buta. Banyak masa beliau belajar bersama-sama dengan kedua-dua rakannya ini. Dan mereka juga banyak membantu beliau untuk menyiapkan tugasan pelajaran sehingga berjaya. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggilap bahasa Arabnya dari aspek percakapan, penulisan dan juga qaedah bahasa arab.

Tuan Guru Dato’ tidak pernah lokek dalam menyebarkan ilmu yang dimilikinya. Ini kerana, ilmu merupakan amanah Allah S.W.T. dan sepatutnya disebarkan kepada orang lain. Kesibukan beliau menelaah pelajaran tidak dijadikan penghalang untuk beliau berkongsi dan mencurahkan ilmu dengan pelajar-pelajar lain. Beliau diamanahkan mengajar pelajar-pelajar Melayu di Mesir terutama kuliah kepada pelajar-pelajar wanita yang kebanyakannya lemah dalam pelajaran dan ramai yang terkandas pada ketika itu. Kelas-kelas ini dianjurkan oleh pelajar Melayu di Mesir. Pengamalan sebegini masih diteruskan sehingga ke hari ini bagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Antara matapelajaran yang diajar oleh beliau ialah Bahasa Arab, Usul Fiqh, Qawaed Fiqhiyyah dan lain-lain.

Semasa di Mesir, beliau telah membuat dua degree; satu MA (Ijazah Sarjana) Syariah di Universiti al Azhar dan Diploma Pendidikan di ‘Ain Shams, Universiti Cairo. Akhirnya dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh kedua-dua degree tersebut serentak dengan cemerlang.

Kehidupan Sebagai Murabbi

Setelah menamatkan pengajian di luar negeri, beliau kembali semula ke tanah air sekitar tahun 1968 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Al-Azhar dan juga Diploma Pendidikan Universiti A’in Shams di Kaherah. Dengan ilmu yang diperolehi dari luar negeri, masyarakat meletakkan harapan tinggi agar dapat mengambil manfaatnya. Untuk tidak menghampakan harapan masyarakat, beliau telah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Abdullah Munsyi, Penang. Beliau ditugaskan sebagai guru disiplin.

Bermula dari saat inilah, beliau mula aktif menyampaikan dakwah kepada umum sebagai memenuhi permintaan masyarakat. Beliau sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah melalui kelas-kelas pengajian agama dan tazkirah di masjid-masjid serta jemputan ke rumah-rumah perseorangan. Selain pada itu, warga guru sekolah juga dianjurkan kelas pengajian khas bersama beliau.

Pada waktu yang sama beliau juga telah bekerja sebagai pensyarah sambilan untuk kursus-kursus pendidikan guru agama seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran di Maktab Perguruan Teknik, Pulau Pinang. Beliau mengajar matapelajaran art of teaching dan child development. Kebanyakan guru-guru agama ketika itu tidak memiliki ilmu pedagogi. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari Kolej Islam Malaya dan Universiti ‘Ain Syam, Mesir dalam bidang pendidikan, ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru pada ketika itu.

Rentetan dari itu, akhirnya beliau ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaya (nama sekarang Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Dengan sifat rendah diri, beliau enggan menerima tawaran tersebut dengan alasan ingin memberi peluang kepada mereka yang lebih senior dan lebih layak untuk memegangnya. Beliau merasakan terlalu awal baginya untuk memegang amanah sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti. Dekan Fakulti Islam ketika itu telah datang sendiri ke rumahnya memujuk beliau untuk menerima jawatan tersebut. Akhirnya beliau bersetuju dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Kecintaan Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu telah mendorong beliau menyambung kembali pengajiannya. Ketika itu, beliau masih berkhidmat di UKM. Maka pada tahun 1972, beliau sekali lagi berlepas ke Mesir untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah. Pada tahun 1973, beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang Syariah dan memperolehi Ph.D daripada Universiti Darul Ulum, Kaherah.

Sekembalinya ke tanah air,  beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setahun kemudian beliau dilantik sebagai timbalan dekan, empat tahun kemudian dianugerahkan profesor madya dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai profesor penuh.


Hasil Sumbangan Beliau Dari Segi Penulisan.

Ketekunan dan kesungguhan beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan sepanjang penglibatan beliau dalam dunia akademik dapat dibuktikan dengan penghasilan pelbagai karya ilmiah seperti buku-buku, kajian ilmiah dan kertas kerja. Antaranya;

PENERBITAN BUKU

A. Buku Terbitan dalam Bahasa Arab


(Dissolution of Marriage and Related Problem: A Comparative Study of Schools of Law) I Watan Press, Kuala Lumpur. 1983.

(The Separation of Spouse Based on Legal Prohibition by Law and Court – Watan Press 1984.

( Some Family Cases : Maintenance, Breach of Marriage and Polygamy an Islamic Solution ) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.

(Spread of Islamic Mission in Malaysia) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.

B. Buku Terbitan dalam Bahasa Malaysia


1. Buku Teks untuk sekolah menengah – Pengetaahuan Agama Islam sebagai Ketua Editor – Obor Islam I, II, III, IV dan V.

2. Rawatan Pesakit Menurut al Quran dan as Sunnah. Percetakan Watan, terbitan bersama rakan. 1990

3. Buku tajuk “ Jawapan Kepada Hadith Satu Penilaian Semula – terbitan Dewan Pustaka Fajar 1988 Ketua Pengarang.

4. Masalah Pendidian Islam di Malaysia (bersama Dr Sabri Salamon) 1988.

5.Pengenalan Islam : Kemusykilan dan Penjelasan (bersama Ishak Din) 1989.

6. Rawatan Gangguan Makhluk Halus – Percetakan Watan 1989.

7. Taklik Talak Antara Hukum Fiqh dan Hukum Kanun – Watan 1989

8. Soal Jawab Agama – Fiqh Harian (bersama Ishak Din – Percetakan Akademi Art Printing Services Sdn Bhd 1992.

9. Aqidah Tauhid (bersama Ishak Din) 1995.

10. Hudud dalam Perundangan Islam – Pakar Print 1978.

11. Manusia dan Islam – Edisi Pertama (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1991) Ketua Editor

12. Manusia dan Islam – Edisi Kedua (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

13. Manusia dan Islam – Edisi Ketiga (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

13. Tasawwur Islam – Percetakan  Graphico Kajang 1404H.

14. Melihat Anak Bulan di Malaysia : Maslah dan Kemungkinan

15. Kewajipan Menegak Negara Islam –Indera Press.

16. Suami Isteri dan Rumahtangga Menurut Islam – Maju Press KL 1979.

17. Penyelenggaraan Jenazah – Unit Bimbingan Agama UPM 1981.

18. Methodologi Zikr – Watan 1988.

19. Pengurusan Jenazah – Percetakan Zizi Kajang 1989.

20. Hudud dalam Perundangan Islam – Dany Press 1993.

21. Muhammad Rasulullah : Anugerah Kejayaan – Bahagian Hal Ehwal Islam JPM 1993.

22. Ulama’ Bukan Cap Getah – Percetakan Watan 1993.

23. Islam : Keadilan Membebaskan Manusia 2007 (PTS Millenia)

24. Islam : Jihad Sebagai Survival Insan 2001 (PTS Millenia).

25. Islam : Ibadah Pembina Tamadun Manusia 2007 (PTS Millenia)

26. Islam :  Ada Apa Dengan Islam 2007 (PTS Millenia).

27. Islam : Agama, Bisnes dan Pengurusan 2007 (PTS Millenia).

28. Islam : Panduan Komprehensif Keluarga Bahagia 2007 (PTS Millenia).

29. Islam : Rujukan Afektif Akhlak Mulia 2007 (PTS Millenia).

30. Ikhtiar Penyembuhan  Penyakit dengan Ayat-ayat dan Doa-doa Mustajab 2009 (Darussyifa’).

31. Fikh Harian 2009 (Edisi Kemaskini ) PTS Millenia.

32. Pengantar Pengubatan Islam – Jilid I  2011 (Darussyifa’).

33. Rawatan Penyakit Jasmani  1 – Jilid II    2011 (Darusyifa’).

34. Rawatan Penyakit Jasmani 2  – Jilid III   2011 (Darussyifa’).

35. Rawatan Penyakit Akibat Sihir – Jilid IV 2011 (Darusyifa’).

Kerjaya


1.    Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)

2.   Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)

3.    Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara

4.    Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB

5.    Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia

6.    Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti

7.    Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

8.    Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan

9.    Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank.

10) Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd

11) Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis

12) Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik


1.    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)

2.    Ketua Penerangan PAS Pusat

3.    Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

4.    Timbalan Mursyidul Am PAS

Sumber: 1, 2

1 comment... add one now

Azhan Azhan October 03, 2016
Perginya seorang ulama ulung malaysia yang tiada gantinya. Alfatihah buat arwah tuan haji dr haron din..

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.