Penjaga Kucing Belanja RM85K Sebulan

Penjaga Kucing Belanja RM85K Sebulan - Seorang pengumpul barangan antik di Malaysia dan isterinya begitu sayangkan kucing, hingga kini menjaga bukan dua atau tiga ekor, tetapi 1,870 ekor kucing di rumah banglo mereka di Kuala Terengganu.

Bahkan, Manan Embong, 63 tahun berkata kepada akhbar New Straits Times (NST) bahawa beliau menghabiskan lebih RM85,000 (S$27,480) sebulan untuk membeli makanan, ubat, sangkar dan membersihkan najis kucing-kucing itu.



Menurut Encik Manan, beliau dan isterinya, Hasnah Din Mohamad, 60 tahun, juga menerima kucing-kucing yang perlu dijaga buat sementara waktu tanpa mengenakan sebarang bayaran. Ini meskipun biasanya bayaran RM18 (S$6) dikenakan untuk haiwan-haiwan itu dijaga buat sehari di pusat perlindungan haiwan.

Menurut NST, pasangan itu mula menjaga 40 kucing pada 1990, dan jumlah itu bertambah kepada 113 pada 1998 hingga mereka berpindah ke banglo di Jalan Ibrahim kini.

Jumlah kucing yang dijaga mereka terus bertambah - mereka membawa masuk kucing jalanan yang datang ke rumah mereka, kucing yang dibawa ke rumah mereka, dan kucing-kucing yang sakit yang ditemui di tepi jalan.

SIMPAN KUCING DALAM 800 SANGKAR DI BANGLO

Kini, kebanyakan kucingnya itu disimpan dalam 800 sangkar di banglo tersebut.

Kata Encik Manan kepada NST, beliau tidak pernah menyesal menjaga begitu ramai kucing dan ia bukan satu hobi, tetapi sesuatu yang amat ingin dilakukan mereka berdua.

Ini lebih-lebih lagi kerana Nabi Muhammad sendiri cinta dengan kucing, katanya.

"Ramai rakan saya fikir isteri saya dan saya ini gila, tetapi saya suka sangat melakukannya kerana Nabi Muhammad cintakan kucing.

"Jika anda membaca hadith tentang bagaimana Nabi berhati-hati tidak mahu mengejutkan kucingnya yang sedang tidur, anda akan menitiskan air mata," katanya kepada NST, sambil menambah Abu Hurairah, seorang sahabat Nabi, mempunyai kucing yang menemaninya ketika beliau membaca Al-Quran.

GAJIKAN KELUARGA SENDIRI JAGA KUCING

Pada 2012, Encik Manan bahkan menggajikan 10 anggota keluarganya untuk menjaga kucing-kucingnya itu.

Beliau berkata beliau mahu memastikan kucing-kucing tersebut dijaga dengan kasih sayang.

"Saya tidak mahu kucing-kucing itu, terutama yang agresif, ditendang atau didera," katanya kepada NST.

Encik Manan menambah beliau bersyukur perniagaannya berjalan dengan baik, dan merancang untuk menempatkan kucing-kucing tersebut di kemudahan baru di Marang - tanah 2 hektar yang menelan belanja RM300,000 (S$97,070).

RANCANG BINA 2 BANGUNAN 2 TINGKAT DEMI KUCING

Kemudian, Encik Manan merancang pula untuk membina dua bangunan dua tingkat yang boleh menampung 5,000 kucing, kemudahan untuk menyimpan makanan kucing, pusat doktor haiwan, homestay, kuarters pekerja, kemudahan kuarantin dan surau yang dijangka menelan belanja RM2.4 juta (S$776,540).

Beliau memberitahu NST, ia dirancang menjadi daya tarikan pelancong dan beliau berharap akan mendapat sokongan dari kerajaan Malaysia bagi projek itu.

Encik Manan sudah mengunjungi pusat perlindungan kucing di tapak 20 hektar di Guangzhou, China, serta Pulau Aoshima di Jepun, atau dikenali sebagai Pulau Kucing, yang dipenuhi kucing yang bebas merayau-rayau.

Beliau juga berkata di Makkah, ada Masjid Abu Hurairah yang dikenali sebagai masjid kucing.

"Saya mahu memberikan kasih sayang kepada kucing dalam cara yang saya mampu. Hati saya luluh melihat haiwan-haiwan itu diberi layanan buruk dan ditinggalkan. Dan apabila kucing sayang anda, ia kasih sayang yang tulus," katanya kepada NST.

SUMBER - BERITA MEDIACORP

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.