Kaji sampel air dari 24 kawasan

GENTING HIGHLANDS: Keputusan awal mengenai punca kejadian jangkitan akut gastroenteritis (AGE) yang berlaku di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak di Perak dijangka diketahui hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Beliau berkata, pihaknya sedang berkerja keras untuk mengenal pasti punca kejadian dengan sepasukan anggota telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk mengambil kira-kira 1,000 liter contoh air dari 24 kawasan yang dikenal pasti bagi dianalisa dan dikaji.




Rotavirus - imej yang diperbesarkan

“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tidak ada kes baru yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama 500 kanak-kanak dan warga tua daripada 13 sekolah dan rumah kebajikan dalam kawasan Parlimen Bentong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting semalam.

Kejadian wabak itu yang berlaku sejak akhir bulan lalu mengakibatkan dua kematian dan demam ke atas lebih 2,200 orang kanak-kanak.


Rotavirus, sejenis virus dalam air adalah punca paling biasa penyebab kepada cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak. Dalam pada itu, Liow berkata kementeriannya akan menimbang kemungkinan untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan membiak jentik-jentik Aedes sehingga RM500 bagi satu kesalahan berbanding RM100 ketika ini.


Langkah itu katanya, bagi menangani peningkatan mendadak jumlah kes denggi yang dilaporkan untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini.

“Sehingga hari ini sebanyak 2,854 kes denggi telah dikenal pasti dengan 11 kematian direkodkan, peningkatan ketara berbanding 2,781 kes dan enam kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya. - Bernama

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.