Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari SUV yang terbakar. |
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dinaiki dua individu, Mohd Saidi Mat Sani, 45; dan Yuzihaliza Ya’cob, 32, terbabas dan terjunam ke dalam semak serta merempuh sebatang pokok sebelum terbalik dan terbakar, menyebabkan kedua-duanya rentung.
Difahamkan, kenderaan berkenaan dipandu seorang wanita manakala seorang lelaki lain berada di tempat duduk penumpang depan, namun sehingga jam 6 petang semalam, identiti kedua-dua mangsa belum diketahui selepas semua barangan milik mangsa, termasuk dokumen pengenalan diri, hangus terbakar.
Azura berkata, dia tidak mendengar suara meminta tolong daripada individu di dalam kereta kecuali sebelah tangan yang bergerak-gerak, namun mengaku dia buntu untuk membantu memandangkan kereta remuk teruk dan melekat pada sebatang pokok.
Menceritakan semula kejadian itu, Azura berkata, sebelum kejadian, dia bersama suaminya, Ahmad Mat, 50, berada di dalam rumah sebelum dia terdengar bunyi kuat brek kenderaan diikuti bunyi dentuman kuat dan bergegas keluar untuk melihat apa berlaku.
“Ketika itu, saya hanya melihat beberapa pokok bergoyang dan tidak nampak kereta terbabit, namun selepas mendekati kawasan itu baru kami menyedari kereta terbabit terbabas dan melekat pada sebatang pokok,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, Ahmad berkata, ketika mendekati kereta itu, dia tidak tahu berapa orang di dalam kenderaan namun selepas menyedari dia tidak mampu menolong mangsa bersendirian, dia bergegas mendapatkan bantuan penduduk kampung.
“Ketika itu, kereta terbabit belum terbakar namun selepas kembali ke tempat kejadian dua minit kemudian, saya terkejut melihat api marak dan menjulang tiga meter sehingga kaki saya menggigil kerana bimbang ia meletup,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Zurin Mamat berkata, lapan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa tiga minit untuk memadam kebakaran.
“Ketika kami tiba, keseluruhan kereta terbakar dan selepas api dipadamkan, kami mengeluarkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan dari dalam kereta,” katanya.
Sumber-myMetro
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.