PADANG SERAI - Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolahnya di Lunas dekat sini pada tengah hari Isnin lalu.
Nur Ainina Adila Muhd Zuki yang dihantar ke sekolah oleh jiran mereka, Rosnah Ahmad dengan menaiki motosikal secara bayaran bulanan, bagaimanapun tidak muncul semasa dijemput oleh wanita itu selepas waktu persekolahan pada petangnya.
"Ketika hendak mengambilnya pulang pada petang hari, Rosnah mendapati anak saya itu tidak keluar daripada sekolah dan menunggu anak saya itu sehingga 30 minit," kata bapa pelajar itu Muhd Zuki Jahaya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Perenggan, Lunas hari ini.
Muhd Zaki, 46, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Perenggan, berkata Rosnah, 46, segera menghubungi isterinya Hajar Othman, yang memaklumkan kepadanya dan mereka bergegas ke sekolah namun gagal menemuinya.
Hajar, 44, berkata mereka diberitahu oleh beberapa kawan sekelas anaknya itu yang anak mereka tidak hadir di kelas pada hari berkenaan.
Katanya, dia dan suaminya kemudian membuat laporan mengenai kehilangan anaknya itu di Balai Polis Lunas kira-kira 9.45 malam, hari yang sama.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas ada merakamkan gambar Rosnah ketika menghantar anaknya ke sekolah tetapi selebihnya tiada.
Hajar berkata, anak bongsu mereka itu yang lebih mesra dengan panggilan “Nina” dan “Dikna” adalah seorang pendiam dan pernah memberitahunya bahawa dia mahu bertukar sekolah.
"Dia pernah menyuarakan hasratnya itu kepada saya akibat dia sering dibuli dan diejek rakan-rakan sekolahnya kerana kekurangan yang terdapat pada dirinya yang agak lembam dan terkebelakang dalam bidang akademiknya," katanya.
Sementara itu, keluarga Muhd Zuki sudah melakukan pelbagai cara untuk menjejaki anaknya itu termasuk mengedarkan gambar Dikna di stesen minyak sekitar daerah Kulim, Bandar Baharu di Kedah dan sekitar Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Seberang Perai serta Pulau Pinang.
Muhd Zuki berharap sesiapa yang mengetahui atau menjumpai Dikna supaya menghubunginya di talian 019-5253307 dan 019-5033091(Hajar) atau balai polis berhampiran. - Bernama
Sumber-Sinar
Lagi Pelajar Perempuan Hilang Di Sekolah
hyhhh0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.