NOOR JANIHAN (kanan) menunjukkan tangki minyak yang dipasang pada bahagian belakang sebuah kereta Proton Wira di Padang Besar semalam.
PADANG BESAR - 'Kereta tanker.'
Demikian yang boleh digambarkan mengenai sebuah kenderaan penyeludup diesel yang dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Kampung Melayu di sini petang kelmarin.
Walaupun ia sebenarnya hanya sebuah kereta Proton Wira tetapi bahagian dalamnya telah diubah suai dengan seluruh bahagian tempat duduk belakang sehingga atapnya dimuatkan dengan sebuah tangki minyak manakala sebuah lagi tangki diletak pada but belakang.
Menariknya, kereta tersebut mampu mengisi diesel sehingga 1,000 liter dan kereta itu dipasang cermin gelap bagi mengaburi pihak berkuasa daripada melihat keadaan di dalamnya.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang kelmarin, kelicikan pemandu dan kehebatan kereta tersebut akhirnya ditumpaskan setelah ia dikesan oleh anggota UPP yang membuat rondaan ketika melalui tapak kilang di sini.
Komander UPP Padang Besar, Asisten Supritendan, Noor Janihan Nanyang berkata, anggotanya yang hairan melihat kelibat kenderaan tersebut kerana tayar belakangnya begitu mendap dan bergerak seperti 'kura-kura'.
"Apabila mengekori kereta tersebut kira-kira tiga kilometer, pemandunya telah menyedari aktivitinya terbongkar dan dia cuba melarikan diri tetapi dapat dipintas di kampung tersebut," katanya di sini semalam.