2012/02/01
BATU PAHAT: Upacara perbarisan Jabatan Bomba dan Penyelamat peringkat Johor di Balai Bomba Jalan Timah Sari, di sini semalam dihentikan lebih awal selepas menerima panggilan kebakaran ketika acara sedang berlangsung.
Ketika sesi penyampaian anugerah yang disempurnakan Pengarah Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Ab Ghani Daud, baru saja selesai kira-kira jam 11 pagi, anggota yang sedang berada dalam perbarisan dipanggil keluar selepas siren dibunyikan, sebelum bergegas ke lokasi kebakaran di Jalan Jeragan.
Ketua Operasi, Sabri Roslan, berkata anggotanya terpaksa dihantar ke lokasi kebakaran walaupun majlis tahunan berkenaan belum selesai sepenuhnya.
“Sejurus menerima maklumat, tiga jentera dikerah ke lokasi kejadian yang membabitkan kebakaran gudang pengumpulan dan penyimpanan barangan lusuh bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Seramai 22 anggota termasuk pegawai ditugaskan memadam dan mengawal kebakaran gudang yang terletak bersebelahan Jabatan Kastam cawangan Batu Pahat. Siasatan masih diteruskan unit penyiasat bagi mengenal pasti punca dan anggaran kerugian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Operasi turut dibantu anggota Balai Bomba Jalan Mohd Khalid.
Terdahulu, pada majlis perbarisan itu, Sabri yang juga Ketua Balai Bomba Jalan Mohd Khalid, turut menerima sijil penghargaan atas khidmat cemerlang bersama pasukan melebihi 30 tahun.
Sementara itu, kebakaran gudang berkenaan tidak mengorbankan nyawa berikutan semua pekerja warga asing yang bertugas berjaya keluar menyelamatkan diri.
Saksi dan penduduk berhampiran lokasi kejadian memaklumkan, ketika kejadian beberapa letupan kecil berlaku menyebabkan api menjulang tinggi dengan asap tebal memenuhi ruang udara berhampiran.
sumber : berita harian
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.