Pemuda cuba bunuh wanita mengandung, kekal dipenjara

PUTRAJAYA 26 Jan. - Seorang pemuda kekal menjalani hukuman penjara 15 tahun atas sabitan cuba membunuh seorang rakan yang sedang mengandung selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Hakim Datuk Zaharah Ibrahim dan Hakim Datuk Linton Albert memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap M. Nesan, 28.

Nesan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada 8 Januari 2010 yang mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Nesan didakwa cuba membunuh wanita berusia 33 tahun itu yang merupakan adik angkat kepada salah seorang rakannya dengan cara mengelar bahagian leher, menikam perut dan belakangnya menggunakan senjata tajam dengan niat menyebabkan kematian mangsa.

Nesan diwakili oleh peguam Paul Krishnaraja manakala Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad mewakili pihak pendakwaan. -Utusan

26/01/2012 3:06pm

Oleh NORLIZAH ABAS

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.