Ragu-ragu!! Lebih 1,000 Hotel Belum Ada Sijil Halal


BACHOK: Hampir satu pertiga atau 429 daripada lebih 1,500 hotel berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sudah mempunyai Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, berkata lebih 1,000 hotel lagi yang masih belum berbuat demikian dengan kebanyakannya membabitkan hotel lima bintang.

“Keadaan ini berlaku kerana hotel terbabit masih tidak memahami mengenai persijilan halal kerana ada yang beranggapan bahawa ia membabitkan keseluruhan hotel, sedangkan tumpuan hanya diberikan kepada bahagian dapur saja,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas majlis Pelancaran Latihan Audit Dalaman Halal untuk Hotel (HIA) dan Pecah Tanah Taman Teman Mini Sudara serta Penutup Kempen Kesedaran Penggiat Pelancongan Negeri Kelantan, di sini, semalam, yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Pengerusi HDC, Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Reginald T Pereira.

Jamil berkata, dengan mempunyai Sijil Halal ini, ia mampu menjadi tarikan pelancong Islam terutama dari negara Islam untuk melancong ke Malaysia kerana berupaya menyediakan kemudahan halal terutama makanan.

Malah katanya, hotel yang sudah mempunyai Sijil Halal mampu mengelak dari berlaku sebarang isu berkaitan dengan makanan terutama apabila menjelang bulan puasa dengan kebanyakan hotel menyediakan perkhidmatan berbuka puasa.
"Supaya tidak timbul sebarang isu berkaitan dengan makanan halal terutama pada setiap bulan Ramadan, HDC berharap semua hotel di negara ini tanpa mengira taraf bintang, memiliki Sijil Halal," katanya.

Beliau berkata, HDC menyediakan perkhidmatan bimbingan dan latihan kepada sektor perhotelan dalam proses serta prosedur pensijilan halal yang membabitkan tenaga kerja terlatih dan berpengetahuan tinggi.

Sumber:BHO

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.