Mangsa ditemui bawah runtuhan bangunan ekoran insiden gempa bumi Turki
ERCIS: Seorang pelajar universiti berusia 18 tahun semalam diselamatkan dari runtuhan sebuah bangunan apartmen kira-kira 61 jam selepas satu gempa bumi yang memusnahkan di timur Turki Ahad lalu.
Pasukan penyelamat menggunakan kamera kecil yang diletakkan pada kayu untuk menjejaki Eyup Erdem dan mereka bersorak gembira apabila mangsa keluar dari runtuhan sebuah bangunan di bandar Ercis, kawasan yang paling teruk terjejas dalam gempa bumi dengan magnitud 7.2 Ahad lalu.
Agensi berita tempatan, Anatolia berkata bahawa Erdem cedera dan dirawat di sebuah hospital.
Pelajar berkenaan yang berpindah ke Ercis sebulan lalu untuk belajar mekanik di sebuah universiti adalah mangsa terkini yang berjaya dibawa keluar dalam keadaan masih hidup selepas pasukan penyelamat berusaha 24 jam untuk mencari mangsa.
Gempa bumi membunuh sekurang-kurangnya 459 orang. Pegawai kementerian kesihatan, Seraceddin Com berkata kira-kira 40 orang dibawa keluar dalam keadaan masih hidup dari bangunan yang runtuh, kelmarin.
Mereka termasuk seorang bayi perempuan berusia dua minggu yang dibawa keluar dalam keadaan separuh bogel tetapi masih hidup dari runtuhan sebuah apartmen, kira-kira 48 jam selepas gempa melanda. Ibu dan neneknya mangsa turut diselamatkan tetapi bapa bayi masih lagi hilang. – AP
Sumber-BHO