Kesian, Nenek Dan Dua Orang Cucu Dirompak Di Rumah
hyhhhRAWANG: Seorang nenek dan cucunya berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Taman Bukit Rawang, di sini, dipecah masuk lima lelaki bersenjatakan parang sebelum suspek mengikat mangsa dan melarikan wang tunai, barang kemas dan set televisyen dianggarkan bernilai RM30,000, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 64 tahun bersama dua lagi cucunya sedang menonton televisyen di ruang tamu terkejut apabila lima lelaki tidak dikenali menceroboh masuk.
Menurut sumber, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan mangsa dan cucunya tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu berdiam diri akibat ketakutan.
“Pintu rumah yang terbuka menyebabkan suspek mudah masuk sebelum mengacukan parang dan menyuruh mereka tidak menjerit jika tidak mahu dicederakan.
“Seorang daripada suspek menutup pintu rumah bagi mengelak kejadian itu diketahui jiran mangsa,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dan cucunya diikat kumpulan terbabit sebelum mereka dibawa masuk ke dalam bilik serta dikurung.
“Mereka turut mengugut akan membunuh cucu mangsa jika dia enggan menyerahkan barangan berharga menyebabkan mangsa mengikut arahan suspek.
“Barangan yang diserahkan mangsa adalah subang, cincin, gelang, telefon bimbit, wang tunai RM3,000 dan barangan berharga lain di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek mengambil masa tidak sampai 15 minit untuk menyamun mangsa sebelum beredar menaiki sebuah pikap Toyota Hilux.
“Malah, suspek turut membiarkan mangsa dan cucunya dalam keadaan berikat sehingga kejadian itu disedari anak mangsa yang pulang dari tempat kerja sejam kemudian.
“Sebaik membuka ikatan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya sebelum mereka datang ke Balai Polis Rawang membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber:myMetro
0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →
Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.