MENIPU...Annette mendakwa kononnya baru bersalin.
MADISON: Seorang wanita Wisconsin yang mempunyai tiga anak tetapi gagal memberikan zuriat kepada teman lelaki barunya, semalam didakwa kerana membunuh seorang wanita hamil, membelah perut mangsa dan mengambil bayi itu untuk dijadikan anaknya.
Menurut aduan dikemukakan pihak berkuasa, mangsa, Maritza Ramirez-Cruz, 23, hamil anak keempatnya dan bercadang menamakan bayi itu Omar.
Wanita keturunan Puerto Rico itu tidak pernah menyangka bakal menemui ajal di tangan Annette Morales-Rodriguez yang mengaku berkeliaran di kawasan Milwaukee selama dua minggu untuk mencari wanita hamil.
Pada 6 Oktober, Annette terjumpa Maritza - dijadual bersalin beberapa minggu lagi - dan menawarkan mangsa menaiki keretanya.
Bagaimanapun, Annete mendakwa dia perlu pulang dulu ke rumah untuk menukar kasut, manakala Maritza meminta kebenaran menggunakan tandas suspek.
MARITZA...sarat mengandung.
Dokumen mahkamah menyatakan, sebaik saja Maritza keluar dari tandas, Annette, 33, memukul kepalanya dengan kayu besbol.
Apabila Maritza terbaring, Annette mencekiknya hingga pengsan sebelum membelah perut mangsa dengan meniru prosedur pembedahan Cesaerean seperti pernah ditontonnya dalam siaran televisyen.
Annette kemudian menyorok mayat Maritza di tingkat bawah rumahnya.
Petang hari itu, pasukan paramedik tiba di rumah Annette selepas dia mendakwa kononnya dia baru bersalin dan bayi berkenaan mengalami kesukaran bernafas.
Bagaimanapun, paramedik gagal menyelamatkan bayi berkenaan, manakala Annette dibawa ke hospital.
Di situ, doktor kehairanan kerana mendapati tiada sebarang tanda Annette hamil atau baru bersalin.
Siasatan lanjut polis mendapati Annette bukan ibu kepada bayi yang mati di rumahnya.
Pegawai polis Wisconsin, Edward Flynn, berkata pemeriksaan di rumah Annette membolehkan polis menemui mayat Maritza yang disembunyikan sebelum itu. Doktor berkata, Maritza mati akibat kehilangan darah yang banyak. - DM
Sumber: Harian Metro