Orang ramai melihat mayat seorang lelaki yang maut selepas membakar dirinya di Jalan Pasir Puteh, Ipoh semalam.
IPOH 10 Okt. - Orang ramai yang berada di Jalan Pasir Putih di sini, gempar apabila melihat 'tindakan berani mati' seorang lelaki yang membakar dirinya sehingga menemui ajal di kaki lima jalan itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, Chong Nam Choon, 68, yang melecur teruk di seluruh badan, meninggal dunia beberapa minit selepas api berjaya dipadamkan oleh orang ramai.
Seorang saksi, K. Lasar, 42, memberitahu, dia mulanya menyangka kepulan asap tebal dan api marak di kaki lima berhampiran stesen minyak itu adalah longgokan sampah yang dibakar pihak tidak bertanggungjawab.
Dia yang bergegas menghampiri tempat kejadian terperanjat apabila mendapati apa yang disangkanya longgokan sampah itu rupa-rupanya tubuh seorang lelaki yang mengerang kesakitan dipercayai cuba membunuh diri.
Lasar berkata, dia kemudian cuba membantu memadamkan api di tubuh lelaki itu dengan mengipas menggunakan bajunya sambil menjerit meminta bantuan orang ramai.
"Tidak lama kemudian, orang ramai mula datang dan menjirus air pada tubuh lelaki itu yang sedang mengerang kesakitan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sumber:Utusan