ALANGKAH SUSAHNYA UNTUK BERLAKU IKHLAS - MUHASSABAH DIRI 4

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakaatuh!
Artikel ini mak pernah keluarkan pada tahun 2010 , kini mak keluarkan sekali lagi kerana  bersemangat  untuk mengajak pengunjung bersama-sama refresh diri untuk menjadi insan yang lebih baik daripada semalam.
Jom kita hayati ...
Ikhlas adalah salah satu daripada sifat-sifat mahmudah yang
paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan, para
malaikat pun tidak tahu. Yang punya diri pun tidak dapat
mengesannya. Ia adalah penentu apakah amalan seseorang itu
diterima atau ditolak oleh Allah. Ada para Sahabat bila mendengar
tentang ikhlas itu dari Rasulullah SAW mereka menangis.
Mereka merasa tidak selamat. Mereka merasakan tidak mungkin
memperolehi sifat ikhlas yang begitu tinggi kedudukan dan
nilainya itu.


Oleh kerana susahnya untuk mendapatkan sifat ikhlas itu,
Islam tidak membenarkan seseorang itu mengaku dia adalah
ikhlas. Siapa yang mengaku dia ikhlas kalaupun sebelum itu
dia ikhlas, automatik keikhlasannya terbatal. Kalau begitu, salah
sekali selama ini yang berlaku di dalam kehidupan kita, seolaholah
telah menjadi budaya apabila seseorang itu memberi,
menolong, membantu dengan berkata:

“Ambillah! Saya ikhlas ni!”

“Saya hendak tolong awak ini dengan ikhlas! Tapi saya sedih,
awak menolaknya.”

“Saya ikhlas hendak bagi sebanyak ini, saya bagilah!”

Di dalam menulis surat selalu ditutup dengan perkataan,
“Saya yang ikhlas.”

Orang yang mengaku ikhlas, ertinya dia mengaku orang yang
paling baik. Di dalam ajaran Islam, mengaku baik itu adalah
satu kesalahan. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi ternafi
keikhlasannya. Tiada yang mengetahui seseorang itu ikhlas
sekalipun yang punya diri, walaupun malaikat, melainkan Allah
sahaja yang Maha Mengetahui.
Oleh itu tiada seorang yang berhak mengaku ikhlas. Cuma
berusahalah untuk menjadi orang yang ikhlas. Moga-moga kita
ikhlas. Setelah kita berbuat demikian moga-moga setiap amal
yang kita buat itu diterima oleh Allah SWT.

APA ERTI IKHLAS?

Erti ikhlas itu ialah murni, bersih. Sesuatu benda itu kalau
jenisnya sahaja, tidak bercampur jenis lain, dianggap benda itu
bersih, murni, tidak dinodai oleh benda-benda lain. Sebagai
contoh, kalau air itu semata-mata air, kalau air itu tercampur
sabun, nila atau tepung, air itu tidak khalis. Ertinya air itu tidak
murni lagi. Tidak mutlak lagi. Tidak bersih, tidak pure kerana
tercampur benda lain yang bukan jenisnya. Ertinya air telah
ternoda atau dinodai oleh benda yang lain. Atau ia telah diwarnai
oleh benda lain.

Begitulah kita beramal, berusaha dan berjuang seperti bersembahyang,
puasa, zakat, naik haji, membaca Al Quran,
mengajar, berdakwah, memberi, menolong, motivasi, forum,
ceramah dan belajar adalah kerana Allah Taala, kerana suruhan-
Nya, kerana perintah-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana
arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan patuh kepada-Nya.
Jadi perkara yang kita buat itu, seperti contoh-contoh di atas
kerana-Nya adalah satu, tujuannya satu, didorong oleh satu, iaitu
Allah SWT. Demi untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Tidak
bercampur dengan kerana-kerana yang lain selain kerana Allah
Taala. Itulah yang dikatakan orang yang ikhlas, iaitu dia membuat
kerja-kerja tadi kerana-Nya murni. Tujuannya bersih. Dorongan
dari satu iaitu Allah SWT.

Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana

lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah
itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau
tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana
riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta,
kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana
boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana
ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan,
kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana
kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerjakerjanya.
Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah
ternoda.

Justeru apa yang dibuat itu ‘kerana Allah’nya telah bercampur
dengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu ‘kerana Allah’nya
sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu.
Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi. Di Akhirat nanti Allah
meminta orang itu, “Pergilah minta pahala daripada orang yang
awak keranakan itu.” Allah Taala tidak akan membalas kebaikan
apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak
kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi
ada kerana yang lain selain Allah Taala.

Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat
susah sekali. Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung
kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau
amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah,
dakwah, mengajar, belajar, gotong-royong, membaca Al
Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah,
memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan
orang ramai. Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan
hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar,
jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak
terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur
dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama
ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.


Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.

a. Niat rosak di awal lagi.

Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekiansekian.
Sama ada kita yang membuat program itu, mahupun
penduduk tempat itu menjemput kita. Hati kecil kita pun
berkata:
“Ha! Inilah masanya aku akan popular.”
“Aku akan terkenal!”
“Adalah peluang duit poket!”
“Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku
selama ini.”
“Barulah mereka tahu siapa aku!'

Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah
tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana
diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita
menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di
atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.

b. Rosak di pertengahan.

Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya.
Mula-mula memang dibuat kerana Allah. Hati berkata:
“Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi
peluang sudah ada atau sudah terbuka.”

“Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa
keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah
marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu.”
Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya,
dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang
fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka
mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan
menunjukkan ada respon dari orang ramai. Hati kita pun berbunga.
Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati
untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati
kita pun membisikkan kepada kita:
“Hebat aku ni!”
“Boleh tahan juga aku ini.”
“Payah juga orang lain hendak menandingi aku.”                                  

Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya
tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi
niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi.
Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan.
Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya
belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.

c. Rosak di hujung.

Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia
hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya
betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk
menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai
masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan
dakwahnya. Di waktu itu hatinya masih baik. Belum
tergugat lagi. ‘Kerana Allah Taala’nya masih belum terungkai
lagi. Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada
kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap:

“Ustaz bercakap tadi sedap betul.”
“Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon"
Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan
di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan
berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari
Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan
kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam
berceramah atau pidato.

Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu
telah terkorban. Ibarat membangunkan rumah atau bangunan,
siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh.

Berdasarkan apa yang kita tulis ini, masya-Allah, terasa
sungguh oleh kita susahnya untuk menjadi orang yang ikhlas,
sedangkan ikhlas itu adalah roh ibadah. Penentu apakah ibadahibadah
itu tertolak atau diterima.

Para pembaca, di sinilah rahsianya mengapa kadang-kadang
usaha dan perjuangan kita itu tidak berkesan, walaupun usaha
sudah dilakukan, respon orang ramai pun ada, tapi kesannya
tiada. Orang ramai tidak juga berubah dari dakwah kita itu. Apa
yang diucapkan oleh mulut kita tidak sama di hati. Apa yang
dicakapkan oleh mulut kita sudah cantik, tidak ada cacat celanya,
tapi cacat di hati. Jadi apa yang diucapkan oleh mulut itu hanya
jatuh di mulut orang ramai. Orang ramai memuji-muji kita,
mengulas-ulas dan memperpanjang-panjangkan ceramah kita.
Namun hati tidak berubah apa-apa kerana di sini terhijab bantuan
daripada Allah Taala disebabkan niat atau hati kita telah
rosak oleh mazmumah riyak dan lain-lain lagi. Di waktu itu sifatsifat
taqwa kita sudah ternafi. Allah Taala tidak akan menolong
orang yang tidak bertaqwa.

Oleh itu marilah kita membuat kerja-kerja kebaikan dengan
hati yang tunduk, yang tawadhuk, penuh malu kepada Tuhan,
rasa takut dan cemas. Takut kalau-kalau amalan kita itu ditolak
oleh Allah Taala. Firman Allah:

Maksudnya: “Ikhlas itu satu rahsia dalam rahsia-Ku,
Aku titiskan ia dalam hati hamba-hamba-Ku yang Aku
kasihi.” (Hadis Qudsi)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang
gambaran lahir kamu tapi dia melihat apa yang ada di
dalam hati kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita berhati-hati moga-moga kita selamat.
Ya Allah, berilah kami selalu hidayah dan taufik-Mu agar
perjalanan lahir dan batin kami berjalan selari menuju
keredhaan-Mu, ya Allah!


Sumbangan : En. Suhaimi bin Abdul Rahim
ALANGKAH SUSAHNYA UNTUK BERLAKU IKHLAS - MUHASSABAH DIRI 4

5 comments.. read them below or add one

nurhamizatulzullraooh nurhamizatulzullraooh July 17, 2011
As'salam saya bdak baru btandang ke blog ni..apa yg dkatakn 2 mmg btul susah sngt utk mcapai 1 tahap dmana keikhlasan sseorg 2..bknnya mudah utk mgetahui soal 2 bknnya ada ttulis d dahi sseorg 2 klu ada snangla mcari sbb ada tanda yg dpt dlihat..apa yg pting klu kita nk wat ssuatu 2 prlula niat krna Allah&dsrtai dgn hati mhonla agar apa yg kita lakukn biar seiring&bjln lncar jgn kita tsasar dr Allah@mlakukn pkara2 yg btentangn dgn printahnya aminn..
AnonymousAnonymous October 11, 2011
Assalamualaikum
minta izin share artikel ni ye..
hyhhh hyhhh October 11, 2011
@Masron
boleh...silakan..yang penting..letak kredit la yer...
Unknown Unknown February 15, 2012
assalamualaikum .. ikhlasnya seseorang itu melakukan sesuatu perkara, hanya Allah swt saje tau ... dan ia menjadi rahsia antara kita ngn Nya .. ^_^
CikUna CikUna March 06, 2012
huhu.. alhamdulillah terjumpa entry nie.. tahnks a lot.. setidak2nya dapat saling mengingati.. huhu tqvm..

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.