Jemaah Malaysia Terkorban Tragedi Mina - Seorang jemaah haji dari Malaysia dibawah kelolaan Tabung Haji (TH) disahkan meninggal dunia dalam insiden rempuhan jemaah di Mina yang berlaku pada Khamis lalu.
Berita duka itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki sebentar tadi.
Zulkifly Samad, 50, yang beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor dipercayai tersasar ke tempat kejadian ketika insiden berlaku
“TH dalam makluman awal mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang terbabit dalam tragedi berkenaan berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal daripada penempatan jemaah haji.
“TH juga sudah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada 12.30 tengah hari sehingga 3 petang (waktu Arab Saudi) pada hari kejadian. Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan satu khemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah,” kata Dr Asyraf memetik laporan dari myMetro Online.
Menurut beliau, isteri Zulkifly tampil membuat laporan bahawa suaminya tidak pulang ke khemah pada Khamis lalu.
“Dalam laporan itu, isterinya mengakui bahawa suaminya tidak bersama dengan Jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasulullah ke Mina.
“Menurut Suria Hanim, panggilan terakhir dibuat kepada suaminya adalah pada 7.15 pagi (waktu Arab Saudi), Khamis lalu. Dalam perbualan telefon itu, suaminya memaklumkan dia selamat tiba di Mina dengan jemaah haji negara lain dari Muzdalifah,” katanya.
Selepas menerima aduan dari isteri Zulkifly, petugas haji memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina.
“Pada hari ini, 1.30 petang (waktu Arab Saudi) pasukan perubatan Tabung Haji membuat tinjauan di rumah mayat Muasim di mana pasukan perubatan menemui satu jenazah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam keadaan yang sempurna,” katanya.
Tambah Dr Asyraf, pasukan perubatan TH berjaya membuat pengesahan melalui identifikasi pada jenazah Zulkifly.
“Di sini pihak TH mengesahkan jenazah berkenaan adalah Zulkifly.
“TH amat berdukacita dengan insiden itu. Kami mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada,” katanya.
Jemaah Malaysia Terkorban Tragedi Mina
hyhhh1 comment... add one now
HAMIDIsP
September 28, 2015
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada. Amiin..
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →