Patutlah Sanggup Sewa Kereta Buruk Pada Kadar RM 100 Sehari

NOOR JANIHAN (kiri) memeriksa tangki minyak yang diubah suai pada salah sebuah kereta yang ditahan di Kampung Baru, Bukit Chabang, Padang Besar semalam.

PADANG BESAR - Penyeludup minyak dikesan sanggup menyewa kereta buruk pada kadar RM100 sehari bagi memastikan kegiatannya berjalan lancar.

Pemangku Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Asisten Supritendan Noor Janihan Nanyan berkata, perbuatan itu dikesan dalam serbuan di Kampung Baru, Bukit Chabang dekat sini kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

"Penyeludup mengaut keuntungan besar dalam kegiatan menyeludup minyak bersubsidi sehingga sanggup menyewa kereta pada kadar itu," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu sebanyak 1,115 liter petrol diisi dalam lima tong dram dan satu tong plastik besar dan 347 liter diesel diisi dalam empat tong plastik hitam dan satu tong dram.

Menurutnya, kesemua bahan bakar bernilai RM20,568 dirampas dalam dua buah kereta yang disewa itu.

"Kami turut merampas dua pam mesin penyedut minyak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan minyak," katanya.

Menurutnya, bahan api itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Tambahnya, dua lelaki rakyat tempatan berumur antara 20 dan 30 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

Sumber:Kosmo

1 comment... add one now

Ahmad Haziq Azlan Ahmad Haziq Azlan October 14, 2011
nak seludup punya pasal....

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.