Akhirnya Suami Isteri Terima Balasan Kerana Memperdagangkan Wanita

Suami isteri dipenjara dan didenda kerana perdagang wanita 


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihukum penjara lapan tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan wanita warga Filipina bagi tujuan pelacuran, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Kwong Tuck Choy dan isterinya warga Filipina, Nancy Pahim Nayan Rillera, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasangan suami isteri itu masing-masing berumur 40 tahun, dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda itu boleh ditambah enam bulan penjara.
Ahmad Zamzani memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam V Ravi Chandran yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zamzani memerintahkan jumlah jaminan mereka sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dinaikkan kepada RM10,000 serta syarat tambahan lain melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Sentul.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan mencapai niat bersama memperdagangkan Dynalyn Villarico Antijojo, 23, bagi maksud eksploitasi di Winner Height Condo, Jalan 2/125, Taman Desa Petaling, Cheras pada jam 6.30 petang, 24 Ogos 2009.
Mereka turut didakwa bagi dua pertuduhan yang sama terhadap Rhea Aesulga Lim, 23, dan Sarah Francisco Pintcing, 24, di tempat dan pada masa yang sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Zulkifli mengemukakan seramai tujuh saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan mengemukakan lima saksi. -- BERNAMA

SUMBER:Berita Harian

0 comment... add one now

Anda sangat dialu-alukan untuk komen di blog ini.